JPKK, kakitangan Japerun dilindungi insurans, khairat kematian tahun hadapan

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 8 Dis. – Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta kakitangan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) seluruh negeri ini akan dibekalkan insurans perlindungan diri sebanyak RM30,000 setahun bermula tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Seri Utama Idris Haron berkata, inisiatif yang diberikan kerajaan negeri itu mampu memberi nafas lega buat pucuk pimpinan akar umbi di negeri ini bagi melaksanakan tugasan yang menjadi perantara antara masyarakat.

Jelasnya, golongan terbabit turut akan diberikan khairat kematian sebanyak RM5,000 serta bayaran pampasan kemalangan sebanyak RM1,000 daripada agensi pembekal insurans yang terlibat.

“Pada awalnya kita kemukakan inisiatif ini buat JPKK sahaja bagaimanapun hasil pertimbangan kerajaan negeri kita mensasarkan buat Setiausaha Japerun termasuk kakitangan yang bekerja di setiap negeri ini.

“Agensi pembekal insurans telah bersetuju menyediakan insurans perlindungan sebanyak RM30,000 buat mereka setahun bagi segenap kegiatan dalam perkhidmatan dan akan berkuatkuasa mulai tahun hadapan.

“Melalui inisiatif itu, golongan ini akan diberikan kad perlindungan insurans bagi mendapatkan perlindungan perubatan pesakit dalam melalui hospital yang telah ditetapkan agensi yang dimuktamadkan,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Program Pembudayaan Norma Baharu Bersama JPKK Melaka Tengah diadakan di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, pagi tadi.

Hadir sama, Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Melaka, Mohd Nasrul Menhat dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Melaka Tengah, Mohd Azri Mohideen Abdul Kadir.

Mengulas lanjut Idris berkata, kerajaan negeri akan mempertimbangkan inisiatif terbabit kepada Sidang negeri ini agar menerima manfaat sama bagi mendapatkan perlindungan diri.

“Kita akan menilai semula setiap polisi yang dibekalkan agen insurans ini agar ia dapat memastikan perjawatan Sidang di seluruh negeri turut menerima manfaat sama dalam inisiatif kerajaan negeri ini.

“Manfaat yang diberikan ini sekurang-kurangnya mampu memberi khabar gembira buat pucuk pimpinan akar umbi ini dan mampu memberi lafaz lega buat mereka bagi melaksanakan perkhidmatan antara kerajaan dan masyarakat,”katanya.

Views:

1288
Kongsi :
Previous post COVID-19: Rakyat Malaysia antara 13 kes import di Singapura
Next post MBSB angkat sumpah Ikrar Bebas Rasuah
Ubah saiz-+=