JSPT Melaka keluarkan 4,477 saman sepanjang lima hari Op Selamat 18

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH – Sebanyak 4,477 saman membabitkan pelbagai kesalahan jalan raya dikeluarkan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka sepanjang lima hari Op Selamat 18 dijalankan.

Ketua JSPT negeri Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding Op Selamat 15 dengan hanya 3,272 saman dikeluarkan bagi tempoh sama.

“Daerah Melaka Tengah merekodkan saman tertinggi dikeluarkan dengan 3,691 diikuti Jasin sebanyak 687 manakala Alor Gajah pula 98 saman.

“Antara kesalahan yang banyak dikesan membabitkan halangan lalu lintas, parkir bertindih dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu,” katanya pada sidang media di Plaza Tol Ayer Keroh, di sini, hari ini.

SUPERINTENDAN Amran@Mohamad

Beliau berkata, jumlah kemalangan jalan raya pada Op Selamat 18 turut menunjukkan peningkatan sebanyak 17 peratus atau 49 kes berbanding Op Selamat 15.

“Untuk lima hari ini sebanyak 340 kemalangan direkodkan dengan tiga kemalangan maut dilaporkan di negeri Melaka.

“Penunggang motosikal adalah kategori pengguna jalan raya paling tinggi yang terbabit dengan kemalangan,” katanya.

Beliau berkata, setakat semalam juga pihaknya merekodkan sebanyak 263,977 kenderaan masuk ke Melaka melalui tiga pintu masuk utama ke negeri ini iaitu Plaza Tol Ayer Keroh, Plaza Tol Simpang Ampat dan Plaza Tol Lipat Kajang.

“Selain tiga laluan berkenaan kami juga mengesan kemasukan kenderaan luar melalui beberapa jalan alternatif bagi mengelakkan kesesakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1344
Kongsi :
Previous post PM berhari raya bersama Chong Wei
Next post Bomba Johor tangkap buaya di tengah jalan di pengerang
Ubah saiz-+=