Justin nafi tinggalkan Melaka United
KETUA Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Melaka United (Melaka United FC) Datuk Wira Justin Lim nafi telah meletak jawatan dan meninggalkan kelab itu.
Dalam satu kenyataan, beliau memaklumkan khabar angin yang ditularkan itu adalah sama sekali tidak benar.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan berlaku sedikit kekecewaan apabila wujudnya isu pegangan saham dalam Melaka United FC.
Namun, ujarnya, perkara itu kini sedang dalam proses penyelesaian dan kata sepakat telah dicapai selepas perbincangan bersama pihak berkepentingan dilakukan.
“Di sini juga saya ingin menyatakan yang saya kekal komited untuk terus menerajui Melaka United FC.
“Pencapaian kita sejak pengambilalihan kelab pada tahun lalu juga boleh dibanggakan dan saya percaya pasukan tahun ini lebih baik dan mampu mencipta lebih banyak kejayaan dengan kerjasama semua pihak berkepentingan.
“Saya merupakan ahli perniagaan yang masih baru di dalam industri bola sepak. Sudah pastinya saya tidak terlepas untuk menghadapi pelbagai cabaran dan ini merupakan ‘learning curve’ untuk saya membawa kelab ini ke tahap lebih baik dari sebelum ini.
“Saya sentiasa beriltizam untuk menyelesaikan semua masalah dan tidak pernah lari dari tugas saya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Justin berkata, skuad Hang Tuah akan terus menghargai sokongan dan kesabaran para peminat, penaja, Kerajaan Negeri Melaka, Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) dan semua pihak berkepentingan.
Katanya, sokongan semua pihak akan menjadi pemangkin semangat untuk kelab itu terus bergerak ke hadapan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.