Kadar 100% vaksinasi mampu dicapai akhir Oktober – PM

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

KUALA LUMPUR 2 Sept – Kerajaan percaya kadar 100 peratus vaksinasi mampu dicapai di negara ini pada akhir Oktober depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehubungan itu rakyat dan seluruh Keluarga Malaysia perlu bersedia untuk hidup bersama COVID-19 sebagai endemik selepas Oktober apabila suntikan vaksin dijangka selesai sepenuhnya.

“Alhamdulillah, hari ini buat pertama kalinya selepas beberapa bulan, kadar purata kebolehjangkitan (R-naught) seluruh negara berada di bawah 1.0, dan saya yakin kita berada di landasan yang tepat ke arah pemulihan negara.

“Berdasarkan unjuran data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), purata kadar vaksinasi di setiap negeri dijangka mencapai 80% bagi populasi dewasa menjelang penghujung September 2021.

“Saya percaya kadar vaksinasi 100 peratus akan dicapai akhir Oktober 2021, sekali gus memberi perlindungan kepada Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan mengenai Sidang Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 hari ini.

Perdana Menteri berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta untuk membentangkan strategi baharu pandemik dan endemik yang bersesuaian selain daripada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) semata-mata.

“Saya menyambut baik saranan mengenai usaha untuk melakukan perubahan kepada tingkah laku (behavioural change) seperti yang diumumkan KKM pada semalam.

“Keluarga Malaysia perlu sedar, akhirnya kita terpaksa hidup bersama COVID-19 seperti yang berlaku di seluruh dunia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

387
Kongsi :
Previous post Melaka beralih Fasa 2 PPN Sabtu ini – PM
Next post Fasa 2 PPN: Jangan ambil mudah perlaksanaan SOP – KM
Ubah saiz-+=