Sorting by

×

Kaji semula sebelum ke endemik – Ketua Pembangkang

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

SERI NEGERI, 21 Sept – Ketua Pembangkang Adly Zahari (PH-Bukit Katil) memohon kerajaan negeri agar mengkaji semula sebarang pelaksanaan fasa endemik berikutan kebimbangan kemampuan mengawal penularan COVID-19.

Jelasnya, kemunculan pelbagai varian termasuk Delta, dikhuatiri akan memberi kesan yang tidak dijangka sekiranya Melaka memasuki fasa endemik.

“Saya mahu kerajaan negeri lihat kembali faktor tersebut, sebelum beralih kepada endemik dan buka kembali sektor ekonomi itu sendiri, antara perkara diberi perhatian, penggunaan hospital secara keseluruhan negeri Melaka telah capai 84.7 peratus dan kadar kuarantin kendiri di rumah adalah tinggi 76.9 peratus.

“Kuarantin kendiri berpotensi tingkatkan jangkitan dan boleh menyumbang kepada kematian yang di luar hospital (BID) kerana pesakit tanpa pemantauan.

“Kalau kita ingin ke proses endemik, kita harus lihat bagaimana keluarga yang dikuarantin ini, dan kita boleh lihat bagaimana keluarga yang dikuarantin bukan sekadar seorang dua, tapi sekeluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas usul ucapan terima kasih ke atas ucapan perasmian Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam pada Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-14 di sini, sebentar tadi.

Antara lain, beliau turut mencadangan agar perkongsian data setiap agensi perlu dilakukan dalam mengenalpasti status taraf hidup rakyat negeri ini dalam memudahkan urusan saluran bantuan amnya.

“Kerajaan negeri harus fikirkan terutamanya kepada kumpulan yang selalu kita sebut B40, dan paling bermasalah dalam negara kita hari ini kita masih gunakan istilah B40, sedangkan kalau ikut statistik negara hampir 20 peratus daripada M40 itu sudah pergi ke B40.

“Sebab itu saya cadangkan antara peranan yang perlu dimainkan oleh Majlis Tindakan Ekonomi peringkat negeri harus memastikan bahawa kita mesti mempunyai perkongsian data sama ada di peringkat kerajaan atau mana-mana peringkat dan antara kerajaan satu agensi dengan agensi yang lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

291
Kongsi :
Previous post Peruntukan lebih RM600,000 biayai keperluan masyarakat Orang Asli – Idris
Next post Pengurangan harga kit ujian kendiri COVID perlu ambil kira kepentingan semua pihak
Ubah saiz-+=