Kajian Hang Tuah penting untuk generasi masa depan

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 11 Disember – Usaha Kerajaan Negeri memperkasa warisan menerusi kajian kewujudan Hang Tuah dan cadangan untuk membuka galeri Laksamana tersohor Melaka itu disambut positif oleh Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) Cawangan Melaka.

Setiausaha Kehormat PSM Cawangan Melaka, Jamil Jaamat berkata usaha seumpama itu bakal memberikan impak yang besar dan amat penting untuk generasi akan datang.

Jamil berkata, kajian mengenai Laksamana Hang Tuah adalah satu permulaan yang amat bagus dan berharap ia diperluas dengan membabitkan ramai lagi pahlawan serta tokoh tersohor seperti Tun Perak.

“PSM Melaka melihat langkah ini wajar dilaksanakan dengan mengangkat Laksamana Hang Tuah sebagai ikon dan contoh buat generasi kini yang rata-rata ramai tidak tahu mengenai susur galur serta bakti pahlawan hebat ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka itu.

“Mengambil contoh seperti di England, mereka mengangkat William Shakespeare sebagai tokoh, jadi Melaka juga boleh mengangkat pahlawan dan pembesar Melaka yang banyak berjasa kepada Tanah Melayu suatu ketika dahulu.

“Hang Tuah bukanlah mitos, pelbagai kajian dilaksanakan membuktikan kewujudannya. Pergilah ke Pattani, Thailand ada perigi Hang Tuah, ke Indonesia ada Universiti Hang Tuah, Surabaya ada sekolah Hang Tuah, di sana mereka terlebih dahulu menamakan institusi mereka dengan gelaran Hang Tuah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu mengulas mengenai Tun Perak Jamil berkata, nama besar itu adalah Bendahara atau setaraf Perdana Menteri bagi peradaban moden ketika ini yang banyak menabur pakti pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka,

“Usaha-usaha murni ini wajar diangkat dan seterusnya dapat dipamerkan pada dunia seterusnya menjadi contoh kepada generasi mendatang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

615
Kongsi :
Previous post Bunuh majikan, suami isteri masing-masing di penjara 35 tahun
Next post Huawei tunjuk minat melabur di Melaka
Ubah saiz-+=