‘Kalau boleh hari ini nak pulang Dumai sambut raya’ – penumpang

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

BANDARAYA MELAKA 4 April – “Kalau boleh hari ini juga nak balik sana, memang rindu sangat-sangat keluarga di sana,” kata Sallehuddin Kasim, 55, warga Indonesia yang bekerja di Melaka.

Katanya, dia amat gembira selepas kerajaan Malaysia dan Indonesia mengumumkan pembukaan sempadan kedua-dua negara selepas hampir dua tahun tidak pulang menyambut Aidilfitri dan Aidiladha di kampung halamannya.

Dia bersama keluarga yang menetap di Kampung Lubuk Redan, Masjid Tanah membuat pelbagai persiapan dan menunggu tarikh sebenar mereka boleh berangkat pulang kerana sekatan tertentu belum diberikan kelonggaran meskipun pintu sempadan sudah dibuka.

“Dah dua tahun tak balik kampung memang rindu dihati sangat terasa jadi bila kita dengar jeti dah buka, perasaan gembira tak mampu nak diungkapkan sebab memang tak sabar nak jumpa saudara di sana.

“Perkara pertama nak kami laksanakan ialah menziarahi pusara ibu saudara dan abang ipar saya sebab kali terakhir kami jumpa adalah pada dua tahun lalu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama dilaksanakan di negara ini.

“Kami terputus hubungan, hanya panggilan video menjadi pengubat rindu, semasa mereka sakit kami hanya dapat lihat menerusi video saja, itulah penghubungnya,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Kota Laksamana, di sini hari ini.

Sallehudin merupakan antara penumpang yang telah membeli tiket untuk pulang ke republik itu dan dia bersama isteri serta beberapa suadara lain dijadualkan berlepas ke Dumai Jumaat ini.

Ujarnya, disebabkan terlampau teruja untuk pulang ke kampung hampir setiap hari dia menghubungi pihak pengurusan ICQS itu bagi mendapatkan tarikh sebenar perjalanan feri mereka.

“Setiap hari saya menelefon sejak sebelum sambutan Aidilfitri lagi dan bila dapat tahu boleh pulang pada 6 Mei terus saya minta cuti panjang demi melunaskan rindu pada keluarga di sana.

“Saya mungkin akan bercuti selama seminggu di sana kerana ingin menziarah ramai rumah saudara-mara yang ada malah mereka tidak sabar menunggu kepulangan kami,” katanya.

Terdahulu, tinjauan MHI mendapati kaunter tiket untuk ke Dumai menerima sambutan daripada penumpangnya yang hadir untuk membeli tiket sejak pagi tadi.

Difahamkan hanya satu kaunter tiket beroperasi di kompleks berkenaan sejak awal Ramadan lalu bagi perkhidmatan feri ke Dumai.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1128
Kongsi :
Previous post Isu guru COS, KPM sedang ambil tindakan sewajarnya
Next post Peniaga DUN Kuala Linggi beri kerjasama, tidak naikkan harga – Rosli
Ubah saiz-+=