Kamarudin, ahli PAS Melaka pertama bawa gelaran Datuk

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 11 Okt. – Pesuruhjaya PAS Melaka, Kamarudin Sedik menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M) yang membawa gelaran Datuk di sini, hari ini.

Anugerah itu dikurniakan pada sesi kedua Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-71 Yang di-Pertua Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam di Seri Negeri.

Menurut Kamarudin, penganugerahan itu sekali gus mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya beliau memegang gelaran datuk dalam PAS Negeri Melaka.

“Saya ucap ribuan terima kasih kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr) Haji Mohd Ali Mohd Rustam atas anugerah ini.

“Tidak ketinggalan terima kasih kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali yang mencadangkan pingat ini diberikan kepada saya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima anugerah tersebut.

Katanya, anugerah itu pengiktirafan Kerajaan Negeri Melaka terhadap parti politik PAS khususnya di Melaka.

“InsyaAllah seperti yang termaktub dalam pemberian pingat iaitu menunjukkan taat setia kepada pemerintahan kerajaan negeri, saya akan  bekerja kuat untuk membantu apa yang perlu khususnya dalam politik.

“Saya akan bantu dalam menstabilkan kerajaan negeri dari sudut politik yang kita tengok agak bercelaru.

“Saya mewakili seluruh ahli dan penyokong PAS Negeri Melaka mengucapkan terima kasih kepada Tun atas pengiktirafan ini,” katanya lagi.

Views:

1214
Kongsi :
Previous post Penalti JDT ‘bunuh’ semangat Melaka United
Next post Yakin Melaka United bangkit semula – Rauf
Ubah saiz-+=