Kami serah nasib kepada PH – Idris

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

AYER KEROH 18 Okt – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron menyerahkan nasib politiknya sama ada diterima menyertai Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berkata, dirinya bersama tiga lagi rakannya yang juga bekas ADUN umpama pendatang yang menaruh harapan daripada pucuk pimpinan parti itu untuk menerima kehadiran mereka.

“Saya dan rakan-rakan saya bagai orang mendatang, kami tidak mahu jadi melukut di tepi gantang, masuk tak menambah, keluar tak berkurang.

“Kami faham parti ini sudah ada orang, kami tidak mahu berbicara, kami serahkan nasib kami kepada PH Melaka dalam PRN akan datang,” katanya ketika berucap Majlis Taklimat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu ketika ditemui pemberita Idris berkata, beliau akur dengan sebarang keputusan yang dibuat Majlis Presiden PH dan menerimanya dengan hati terbuka.

“YB (Yang Berhormat) Adly (Zahari) cakap tadi dia akan bawa ke atas (pucuk pimpinan PH), saya kata kita ini pendatang.

“We don’t make a call, we don’t call a shot. Jadi kita serahkan nasib kita kepada mereka (pucuk pimpinan) dan kita tak mahu di pandang seperti melukut, masuk tak menambah keluar tak meluak.

“Kita ada budaya, kita tak boleh memilih, maksud saya biar PH memikirkan nasib kita,” katanya.

Idris berkata, beliau yakin gabungan empat bekas ADUN itu bersama 11 lagi daripada PH negeri berjaya menbentuk gabungan yang kuat.

“Sebab dalam 15 orang ini kami ada satu gabungan, empat campur 11 dah membentuk majoriti merupakan satu semangat kami dokong.

“Jadi saya cuma menaruh harapan kepada PH. Masuk mana-mana parti? Saya tidak tahu, saya masih tidak membuat sebarang keputusan dan saya yakin memerlukan lebih masa untuk memikirkan,” katanya.

Terdahulu, Idris bersama bekas ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Bekas ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad serta bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan hadir sebagai tetamu dalam majlis berkenaan.

Hadir sama, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi PKR Melaka, Datuk Halim Bachik.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

684
Kongsi :
Previous post BN Melaka sedia hadapi PRN
Next post Nasib empat bekas ADUN ditentukan Majlis Presiden PH
Ubah saiz-+=