
KAMPUNG ANGKAT MADANI BAWA SINAR BAHARU KEPADA WARGA FELDA
JASIN 2 September – Felda Tun Ghaffar Air Kangkong, Jasin dipilih Jabatan Landskap Negara (JLN) sebagai lokasi pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI (KAM) 2025 dijangka membawa pembaharuan kepada penduduk setempat.
Justeru itu, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) telah menerima kunjung hormat delegasi JLN diketuai Ketua Pengarahnya, Mansor Mohamad bagi membincangkan pelaksanaan program berkenaan.
Setiausaha MPJ, Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, perbincangan diadakan turut menekankan perkembangan projek di tapak bagi memastikan setiap inisiatif dirancang dapat disiapkan mengikut jadual.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan Program KAM dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober 2023 untuk merapatkan jurang antara desa dan bandar.
“Menerusi program ini kampung terlibat akan dilengkapi kemudahan asas seperti air, elektrik, jalan, lampu jalan dan capaian internet.
“Penglibatan pelbagai kementerian atau agensi dilihat dapat membantu memenuhi keperluan sebuah kampung melalui komunikasi secara langsung dengan penduduk kampung dan permasalahan yang dialami.
“Sinergi seluruh jentera kerajaan dapat diperkasakan hasil daripada inisiatif semua pihak dengan fungsi dan peranan masing-masing,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata program KAM merupakan pendekatan ‘whole of government’ yang menyentuh keperluan rakyat dalam melengkapkan infrastruktur asas setiap kampung terpilih oleh kementerian atau jabatan persekutuan.
“Program ini dilaksanakan bagi memperkukuh pembangunan luar bandar secara sistematik, bersepadu dan mampan, seiring aspirasi Kerajaan MADANI. Matlamat akhirnya adalah meningkatkan kualiti hidup masyarakat serta mewujudkan persekitaran kondusif di kawasan kampung.
“Dengan kerjasama erat pelbagai pihak, kami percaya KAM 2025 di Felda Tun Ghaffar Air Kangkong akan memberi manfaat besar khususnya kepada penduduk dari segi kesejahteraan dan kelestarian pembangunan,” katanya.
Terdahulu, kehadiran delegasi JLN disambut Muhammad Zahiruddin bersama barisan pegawai MPJ.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.