Kanak-kanak derita AVM perlu jalani pembedahan tempurung kepala

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

AYER LIMAU 16 Oktober – Seorang kanak-kanak perempuan yang menghidap penyakit Malformasi Arterio Vena (AVM) memerlukan bantuan sebanyak RM30,000 bagi membolehkannya menjalani pembedahan untuk menutup tiga saluran otaknya.

Naira Mahdeeya Nor Afratsim,10 yang disahkan menghidap penyakit itu sejak Ogos lalu disebabkan terdapat kesan gumpalan darah dalam saluran pembuluh darah kini tidak mampu meneruskan zaman persekolahannya seperti kanak-kanak lain.

Ibunya, Mastura Dahan, 45, berkata, anaknya yang sebelum ini bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Ramuan China Besar tidak lagi bersekolah disebabkan mengalami strok pada bahagian kiri badan dari muka hingga kakinya.

Menurutnya, anak keempatnya daripada lima beradik itu perlu segera menjalani pembedahan pada November depan dan memerlukan kos perubatan sekurang-kurangnya RM30,000.

“Saya buntu mana nak cari wang dan tarikh bagi pembedahan di Hospital Sungai Buluh untuk menutup tiga saluran di otak semakin hampir, malah doktor kata pendarahan boleh berlaku pada bila-bila masa kerana penyakit AVM ini adalah penyakit kapilari darah yang berselirat dan salurannya boleh pecah jika berlaku pendarahan yang teruk.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai tukang bersih masjid dan hanya mengharapkan gaji harian yang diberikan tapi terpaksa berhenti sebab nak jaga anak yang sakit di rumah.

“Suami pula, Nor Afratsim Hashim,46 bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang dan hanya berpendapatan RM2,000 tidak mampu untuk menampung kos perubatan itu malah anak-anak lain yang berusia 16 hingga lapan tahun masih bersekolah,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, serangan penyakit itu berlaku secara tiba-tiba pada 26 Ogos lalu kira-kira jam 9.40 pagi dan mendapati tubuh anaknya menjadi lembik seperti pengsan dengan keadaan mata tertutup setelah cuba dikejutkan dari tidur.

“Suami saya terus membawanya ke bahagian kecemasan Klinik Kesihatan Masjid Tanah dan telah dirujuk ke Hospital Melaka kerana disyaki mengalami pendarahan otak.

“Hasil pemeriksaan lanjut oleh doktor pakar anak saya perlu melaksanakan pembedahan tempurung kepala pada hari sama.

“Doktor kata saraf matanya ada rosak sedikit selain dia sukar membuang air besar kerana masalah usus akibat tidak boleh bergerak. Namun, saya tetap bersyukur penyakitnya dikesan awal,” katanya.,” katanya.

Ujarnya, keluarganya pernah memohon bantuan bulanan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun belum menerima kata putus.

“Saya harap permohonannya itu dipercepatkan, saya nak lihat anak saya pulih, sekurangnya saya nak tengok dia mampu berjalan sendiri dan tidak lagi bergantung kepada lampin pakai buang dan tidak lagi meminum susu khas.

“Setakat ini kami hanya mampu mengumpul lebih kurang RM7,000 hasil sumbangan orang ramai namun belum mencukupi untuk menampung kos perubatan ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi nombor akaun Maybank 162143031269 atas nama Nor Afratsim Hashim.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1117
Kongsi :
Previous post PSH pupuk kemahiran pelbagai peringkat usia
Next post Belanjawan 2024 : Melaka sedia naik taraf tandas awam
Ubah saiz-+=