
KANAK-KANAK LELAKI DITEMUKAN LEMAS DALAM TAKUNGAN AIR
Ketua Polis Daerah Bintulu Supt Nixon Joshua Ali berkata pihaknya menerima panggilan daripada seorang bapa yang memaklumkan anak lelakinya berusia tujuh tahun hilang berhampiran simpang jalan masuk Taman Seri Pelabuhan, Bintulu lebih kurang 8.30 malam tadi.
Bertindak atas maklumat tersebut, beliau berkata pasukan polis bersama Unit MPV IPD Bintulu serta pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu digerakkan ke lokasi untuk membantu pencarian kanak-kanak itu.
“Mangsa berumur tujuh tahun, berbangsa Iban, ditemui di dasar takungan air berkedalaman lima meter, terletak lebih kurang 50 meter dari rumah pekerja Fully Contractor Workshop. Pemeriksaan awal mendapati tiada unsur jenayah pada tubuh mangsa.
“Pegawai perubatan dari Hospital Bintulu telah mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.
Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Bintulu untuk bedah siasat dan kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Polis menasihati orang ramai khususnya ibu bapa dan penjaga, agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak di kawasan berhampiran kolam atau takungan air.
Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan IPD di talian 086-318304.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.