Kapal dagang ditahan bersauh tanpa kebenaran

Masa Membaca:57 Saat

BANDA HILIR 19 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Sembilan/ Melaka menahan sebuah kapal dagang yang bersauh tanpa kebenaran di perairan Selat Melaka di sini, petang kelmarin.

Pengarahnya Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, kapal dagang yang berdaftar di Liberia itu ditahan dalam Op Benteng.

“Kehadiran kapal dagang itu disedari berada di posisi kira-kira 4.8 Batu Nautika Barat Daya Banda Hilir oleh penguatkuasa ketika operasi dijalankan.

“Hasil daripada pemeriksaan dilakukan mendapati pengendali kapal itu gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, dua individu masing-masing nakhoda dan ketua jurutera kapal warga Filipina berusia 56 dan 63 tahun turut ditahan.

“Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan dibawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan malah APMM sentiasa mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras serta menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya.

Haris Fadzillah meminta orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut.

“Orang awam boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam jika ternampak sebarang perkara yang mencurigakan,” katanya.

Views:

534
Kongsi :
Previous post Naikkan harga: 12 pemilik kedai gunting rambut diberi notis
Next post Resah diganggu babi hutan
Ubah saiz-+=