Sorting by

×

Kapal kargo MV Dai Cat 06 hilang di perairan Indonesia

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

JOHOR BAHRU, 10 Jan – Sebuah kapal kargo, MV Dai Cat 06 yang didaftarkan di Malaysia dan membawa muatan besi serta lima kru dilaporkan hilang di perairan Indonesia, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata pihaknya menerusi Pusat Kecil Mencari dan Menyelamat (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat berhubung kejadian tersebut dari MRSC Langkawi pada 5.13 petang.

Beliau berkata maklumat diterima susulan satu laporan polis dibuat oleh ejen kapal terbabit pada 12.11 tengah hari, semalam.

Nurul Hizam berkata ejen tersebut mendakwa kapal kargo yang dikendalikan tiga kru warga tempatan dan dua kru warga Indonesia, berusia 20 hingga 57 tahun itu, telah keluar dari jeti Kampung Aceh, Perak pada 23 Dis lepas dan sepatutnya tiba di Kuching, Sarawak, pada 31 Dis.

“Lokasi terakhir kapal ini dikesan melalui sistem Sistem Pengenalan Automatik (AIS) adalah pada 1 Jan lepas di perairan Indonesia, 0.2 batu nautika dari sempadan perairan negeri Johor.

“Namun, satu isyarat kecemasan Emergency Position Indicator Radio Beacon (EPIRB) telah dikesan pada 10.42 malam, dipercayai daripada kapal kargo itu di kedudukan 30 batu nautika barat laut Pemangkat, Indonesia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Johor, di sini hari ini.

Beliau menambah isyarat kecemasan tersebut dikesan oleh Pusat Kawalan Misi Malaysia (MYMCC) dan Pusat Kawalan Operasi Pelabuhan (POCC) Singapura.

Menurutnya, kapal kargo itu turut membawa muatan 527 batang paip bernilai RM726,205.

“Pihak MRSC Johor Bahru turut menghantar hebahan menerusi NAVTEX bagi memohon bantuan komuniti maritim sekiranya mempunyai maklumat mengenai kehilangan kapal ini.

“Komuniti maritim dimohon untuk menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9401 sekiranya mempunyai maklumat,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2296
Kongsi :
Previous post Bayi empat bulan koma dipercayai didera
Next post Suami isteri antara 13 ditahan dalang sindiket edar dadah
Ubah saiz-+=