Kapal persiaran berlabuh, isyarat positif untuk TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

TELOK MAS 27 Januari – Kehadiran pelancong dan pengunjung dari luar negara bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) menunjukkan reaksi positif.

Timbalan Exco Pelancongan, Warisan Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan berkata, perkembangan positif itu ditunjukkan apabila persinggahan kapal persiaran ke Melaka juga semakin memuaskan

Katanya, setakat ini terdapat empat kapal sudah berlabuh di negeri ini.

“Setakat ini empat ‘cruise’ sudah berlabuh di Melaka yang mana setiap daripadanya membawa antara 1,200 hingga 1,500 penumpang. Kapal persiaran ini antaranya berlayar dari Bahamas dan Singapura.

“Ini jelas menunjukkan bahawa Melaka ini menjadi tumpuan dalam kalangan pelancong termasuk dari luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyampaian Hadiah Pulau Besar New Year Challenge 2.0 yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Pulau-Pulau Melaka (MPPM) Azhar Yaacob.

Zaidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam berkata selain itu kawasan tumpuan pelancongan turut dipenuhi pengunjung serta tempahan penginapan juga turut meningkat.

“Kita menerima maklum balas yang amat baik terutamanya dari pemain industri apabila dimaklumkan bahawa berlaku peningkatan jumlah tempahan bilik.

“Malah secara fizikal juga ia dapat dilihat secara fizikal apabila Melaka kini bukan sahaja sesak di hujung minggu bahkan juga pada hari biasa. Ini jelas menunjukkan TMM2024 mendapat sambutan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

818
Kongsi :
Previous post Sukan lasak tarik pelancong luar ke Melaka
Next post Jualan Rahmah jadi tumpuan orang ramai pada Program Jiwa Madani
Ubah saiz-+=