Sukan lasak tarik pelancong luar ke Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

TELOK MAS 27 Januari – Seramai 55 peserta dari dalam dan luar negeri Melaka berkumpul di Pulau Besar sempena penganjuran sukan lasak Pulau Besar New Year Challenge 2.0, hari ini.

Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan berkata, penganjuran pertandingan itu diadakan bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) yang turut melibatkan beberapa lagi sukan lain yang akan menghimpunkan lebih ramai peserta.

“Untuk Pulau Besar New Year Challenge 2.0 ini adalah program pertama dalam kalendar TMM2024 dan akan ada lagi beberapa sukan lain yang akan diadakan bagi menarik kedatangan pelancong ke negeri ini.

“Di samping menganjurkan acara sukan, secara tidak langsung kita dapat mempromosikan Pulau Besar dan Taman Laut Melaka kepada peserta terutamanya yang datang dari luar Melaka.

“Pada penganjuran ini, kita dapat saksikan peserta bukan sahaja dari Melaka tetapi ada yang datang dari Selangor, Kuala Lumpur dan Terengganu, oleh itu menerusi sukan ia dapat membantu promosi Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyampaian Hadiah Pulau Besar New Year Challenge 2.0 yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Pulau-Pulau Melaka (MPPM) Azhar Yaacob.

Zaidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam berkata, penganjuran acara sukan dalam skala yang lebih besar turut dirancang bagi mempromosikan lagi Melaka bukan sahaja dalam negara tetapi seluruh pelosok dunia.

“Dengan kejayaan penganjuran ini ia akan menjadi panduan untuk kita mengadakan acara dalam skala yang lebih besar termasuk dengan penyertaan peserta luar negara,” katanya.

Jelasnya, pertandingan Pulau Besar New Year Challenge 2.0 itu membabitkan tiga acara utama iaitu berkayak, berlari dan berbasikal yang terbahagi kepada dua kategori berkumpulan campuran dan lelaki berkumpulan.

Bagi ketegori campuran berpasukan, pasukan Sukan Lasak ATM diumumkan sebagai juara manakala untuk kategori lelaki berpasukan pula diungguli kumpulan ATM (pasukan A).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

764
Kongsi :
Previous post Tanggungjawab moral untuk ahli politik, pesara pilih satu pencen – PM Anwar
Next post Kapal persiaran berlabuh, isyarat positif untuk TMM2024
Ubah saiz-+=