Karipap ‘gajah’ curi tumpuan

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

SUNGAI RAMBAI 21 Mac – Saiznya yang besar menyebabkan karipap ‘gajah’ dijual seorang peniaga di Bazar Ramadan Sungai Rambai, di sini, menjadi tumpuan pengunjung.

Menggunakan resepi dipelajari daripada arwah neneknya, kini Nurul Asyikin Rosli, 24, meneruskan perniagaan karipap gergasi itu bersama ibunya.

Menurutnya, meskipun terdapat pelbagai jenis kuih-muih termasuk karipap yang dijual di bazar Ramadan, karipap gergasi ditawarkan mempunyai peminat tersendiri.

“Resepi ini asalnya daripada arwah nenek, kemudiannya emak dan kini saya pula secara tidak langsung membantu. Dulu hanya terdapat dua jenis iaitu inti sayur dan ‘special’ telur bersama sardin.

“Tetapi ibu kemudian olahkan inti baharu iaitu ayam dan daging. Alhamdulillah sejak sembilan tahun berniaga di bazar Ramadan sambutan menggalakkan mungkin kerana kami hanya berniaga pada bulan puasa sahaja,” katanya.

Dia yang berasal dari Sebatu itu ditemui ketika Ramah Mesra Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Siti Faizah Abdul Azis bersama pengunjung dan peniaga Bazar Ramadan Sungai Rambai, di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Rambai.

Katanya, selain tarikan saiz yang besar, rasa inti karipap juga memainkan peranan bagi memikat hati pelanggan .

“Sebenarnya berniaga ini bila pelanggan percaya, mereka akan datang lagi tetapi rasa dan kualiti juga perlu dijaga sebaiknya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

147
Kongsi :
Previous post Abai kebersihan, diri sendiri yang rugi
Next post Syarikat China berminat pasarkan produk halal di Melaka
Ubah saiz-+=