Karnival D’Bendang Sungai Rambai pada 14 Oktober depan

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

SUNGAI RAMBAI 29 Ogos – Karnival D’Bendang Sungai Rambai Peringkat Negeri Melaka bakal diadakan pada 14 Oktober depan di Kampung Parit Penghulu bagi mempromosikan produk agropelancongan kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Siti Faizah Abd Azis berkata, karnival julung kali diadakan itu menyasarkan seramai 2,500 kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negeri ini.

Beliau berkata, penganjuran karnival berkenaan juga adalah menyahut saranan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menjadikan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sebagai destinasi pelancongan luar bandar.

“Kita mahu perkenalkan antara produk yang ada di Melaka berkaitan dengan pelancongan, salah satunya ialah di Sungai Rambai, hasil tanah yang ada di sini adalah pertanian, perikanan dan juga industri kecil dan sederhana (IKS).

“Sebab itu saya namakan Karnival D’ Bendang, ia boleh merangkumi banyak aspek yang melibatkan banyak agensi, dengan penglibatan agensi ini kita boleh promosikan produk tempatan yang ada di DUN ini.

“Pelbagai aktiviti akan diadakan termasuklah pameran daripada agensi terlibat, Jualan Rahmah, jualan produk tempatan usahawan Sungai Rambai, permainan untuk kanak-kanak dan banyak lagi,” katanya kepada Melaka Hari Ini di Japerun Sungai Rambai, di sini, hari ini.

WhatsApp Image 2023-08-29 at 16.11.08
SITI FAIZAH

Beliau yang juga Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, setakat ini DUN Sungai Rambai mempunyai seramai 100 usahawan tempatan yang berdaftar.

“Semua usahawan ini kita jemput untuk menyertai karnival ini, bawalah produk mereka untuk promosikan kepada pelancong yang datang nanti.

“Karnival bermula dari jam 7 pagi dan kita jangkakan ia dirasmikan oleh Ketua Menteri memandangkan ia pertama kali diadakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3292
Kongsi :
Previous post Bayi lelaki ditemukan di luar pusat tahfiz
Next post Budayakan seni pantun di sekolah-sekolah Melaka – KM
Ubah saiz-+=