Budayakan seni pantun di sekolah-sekolah Melaka – KM

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

MASJID TANAH 29 Ogos – Pendedahan seni pantun sejak di peringkat sekolah berupaya memastikan seni warisan budaya negara itu dapat diwarisi generasi seterusnya.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penganjuran pertandingan menulis pantun yang dikelolakan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka disifatkan sebagai langkah cukup besar bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Jelas beliau, pendedahan melalui pertandingan merupakan usaha cukup baik dalam membudayakan seni itu kepada pelajar berbilang kaum, agama dan bangsa.

“Budaya ini mesti diterapkan kepada semua anak bangsa tidak kira Melayu, Cina atau India. Malah, melalui pertandingan ini, kita dapat melihat ada juara yang bukan berbangsa Melayu.

“Jadi, saya amat menggalakkan pertandingan mencipta pantun asli ini diperbanyakkan di peringkat sekolah.

“Tidak kisah rupa ciptaan pantun yang dihasilkan, kerana saya percaya apabila tiba satu peringkat ia boleh ditambah baik dari segi gaya bahasa dan susun atur suku kata supaya selari dengan pembayang dan maksud,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas hadir ke Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Penulisan Pantun Sekolah-sekolah Peringkat Negeri Melaka Tahun 2023 di Dataran Warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Pengarah Pendidikan Negeri Melaka, Mohd Ghazali Ahmad.

Pada pertandingan itu sebanyak tiga kategori dipertandingkan membabitkan ketiga-tiga daerah di negeri ini iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK).

Kategori SJK menyaksikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Ying muncul johan daerah Melaka Tengah, manakala johan daerah Jasin Alor Gajah masing-masing menjadi milik SJKC Pay Hsien dan SJKC Lendu.

Bagi kategori sekolah rendah, juara disandang Sekolah Kebangsaan Bendahara Seri Maharaja (Melaka Tengah), Sekolah Rendah Arab (SRA) Merlimau Pasir (Jasin) dan SK Demang Taha (Alor Gajah).

SMK Telok Mas (Melaka Tengah), SMK Datuk Bendahara (Jasin) dan SMK Ghafar Baba (Alor Gajah) pula dinobat johan bagi kategori sekolah menengah.

Mengulas lanjut, Ab Rauf memaklumkan, Kerajaan Negeri bakal mewujudkan ‘Gerbang Pantun Negeri Melaka’ bagi mengumpulkan hasil-hasil karya rakyat negeri ini.

Malah, kata beliau, karya-karya pantun terbaik juga akan dibukukan bagi membolehkan ia diwarisi generasi akan datang.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1588
Kongsi :
Previous post Karnival D’Bendang Sungai Rambai pada 14 Oktober depan
Next post Ayer Keroh lokasi sambutan malam ambang merdeka, esok
Ubah saiz-+=