Kastam rampas 51.36 kg methamphetamine bernilai hampir RM1.7 juta

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

NILAI, 11 Sept – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan merampas 51.36 kilogram (kg) methamphetamine bernilai RM1.7 juta di sebuah gudang di Pelabuhan Klang, Selangor, pada 4 Sept lepas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Ribuan Abdullah berkata dalam serbuan kira-kira 12.45 tengah hari, JKDM menyita enam kotak dengan lima daripadanya berisi bungkusan plastik lut sinar mengandungi serbuk kristal putih disyaki dadah berbahaya.

Katanya berdasarkan jumlah berat dadah diperoleh, rampasan itu dapat menyekat bahan terlarang itu daripada diedarkan kepada 256,800 juta penagih.

“Baki lagi sekotak dirampas itu mengandungi aksesori paip getah. Modus operandi sindiket dengan menyorokkan 338 bungkusan plastik lutsinar disyaki dadah dalam lilitan 72 gelung paip getah berwarna kuning. Dagangan ini diikrarkan sebagai paip getah tekanan tinggi.

Tempat asal dadah ini berkemungkinan bukan dari negara ini, maknanya ia dibawa masuk ke sini kemudian untuk dieksport ke Australia. Modus operandi adalah pertama kali digunakan bagi mengaburi pihak berkuasa kedua-dua negara” katanya pada sidang media di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM, di Kampung Jijan, di sini hari ini.

Ribuan berkata hasil siasatan mendapati barangan itu akan dieksport ke Australia menggunakan laluan laut dan pengeksport menggunakan maklumat syarikat palsu menyebabkan tangkapan sukar dibuat ke atas suspek.

Beliau berkata JKDM berjaya mematahkan percubaan penyeludupan pelbagai jenis dadah ke Australia sebanyak 17 kali pada tahun ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Meskipun belum ada tangkapan dibuat, JKDM sedang berusaha dengan berhubung pihak berkuasa di Australia untuk mengesan dalang di sebalik sindiket ini,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4380
Kongsi :
Previous post Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat 2023 berkuat kuasa esok
Next post Hasilkan video, gambar kreatif boleh menang RM1,000
Ubah saiz-+=