Hasilkan video, gambar kreatif boleh menang RM1,000

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 12 September – Hanya dengan sekeping gambar swafoto dan video pendek, rakyat Melaka berpeluang memenangi wang tunai sehingga RM1,000 apabila menyertai peraduan sempena Hari Kebangsaan Ke-66 dan Hari Malaysia.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, peraduan yang bertemakan Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan itu terbuka buat semua rakyat Malaysia khususnya penduduk Melaka.

“Sesiapa sahaja boleh menyertai peraduan itu yang terbahagi kepada dua kategori iaitu Peraduan Tiktok Merdeka yang mana peserta hanya perlu menghasilkan video berdurasi tiga minit berkaitan dengan Kemerdekaan atau Hari Malaysia yang kreatif.

“Manakala satu lagi kategori adalah Peraduan Selfie Merdeka, untuk ini peserta perlu menghasilkan satu fotografi menarik. Bagi kedua-dua penyertaan ini peserta perlu menghantarnya menerusi aplikasi Instagram dengan ‘hashtag’ #HariKemerdekaan66 #HariMalaysia #MalaysiaMadani #AllexSeah.

“Peserta juga perlu ikuti serta ‘tag’ Facebook YB Allex Seah sebelum menghantar karya kreatif mereka untuk dinilai dan dipilih selewat-lewatnya pada 16 September sebelum pemenangnya diumum pada keesokannya,” katanya ketika ditemui di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (Adun) Kesidang berkata, bagi kategori Peraduan Tiktok pemenang utama akan memenangi hadiah bernilai RM1,000 dan diikuti RM500 serta tempat ketiga RM300.

“Manakala untuk Peraduan Selfie yang fotografinya terpilih, pemenang akan memenangi wang tunai bernilai RM500 selain terdapat 50 hadiah saguhati iaitu hamper yang setiap satu bernilai RM50.

“Sejak peraduan dibuka bermula 31 Ogos lalu, kita sudah menerima beberapa penyertaan dengan pelbagai kreativiti yang ditonjolkan justeru itu saya menggalakkan lebih ramai yang tampil dan mengambil peluang menyertai peraduan julung kali diadakan ini,” katanya.

Beliau berkata, peraduan ini juga diadakan bagi membolehkan rakyat berkongsi kreativiti mereka dalam menunjukkan semangat patriotisme dan cinta akan tanah air yang mana secara tidak langsung anak-anak kecil serta generasi muda turut sama mengerti apa itu Hari Kemerdekaan serta Hari Malaysia.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1504
Kongsi :
Previous post Kastam rampas 51.36 kg methamphetamine bernilai hampir RM1.7 juta
Next post Melaka sasar capai kadar 89.5 peratus liputan 5G menjelang Disember ini – KM
Ubah saiz-+=