Melaka sasar capai kadar 89.5 peratus liputan 5G menjelang Disember ini – KM

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

KUALA LUMPUR 12 September – Kerajaan Negeri menyasarkan akan mencapai kadar 89.5 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk di Melaka menjelang Disember ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kadar peratusan terbabit akan meliputi 255 lokasi di seluruh negeri.

Katanya, setakat ini ketersediaan rangkaian 5G di Melaka telah mencapai 64 peratus.

“Dengan usaha berterusan, kadar kelajuan purata jalur lebar mudah alih bagi Negeri Melaka setakat Jun 2023 telah jauh melebihi sasaran 35 Megabit per saat (Mbps) di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 iaitu mencapai 44.95 Megabit Mbps.

“Perancangan Pelan JENDELA akan terus dipergiat bagi memastikan impak pelaksanaannya dapat diterima dengan cepat oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan Perasmian Majlis Apresiasi Sempena Program Pemerkasaan Infrastruktur Digital dan Telekomunikasi Negeri Melaka di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan, timbalannya, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem serta Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh.

Turut hadir, Exco Pelancongan Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri komited untuk terus memperkasa kesalinghubungan serta mengukuhkan ekosistem digital negara merentasi sektor industri.

Jelasnya, antara usaha yang telah dilakukan termasuklah meningkatkan kapasiti rangkaian telekomunikasi serta keupayaan infrastruktur sedia ada dan pembinaan menara telekomunikasi yang baharu.

“Melalui pelaksanaan pelan JENDELA di Negeri Melaka sejak tahun 2020, sebanyak 306,309 premis telah dilengkapi dengan gentian optik untuk jalur lebar talian tetap berkelajuan tinggi.

“Manakala liputan internet pula telah mencapai 99.77 peratus di kawasan berpenduduk, hasil daripada pelaksanaan 38 menara baharu dan 976 stesen pemancar dinaik taraf,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

814
Kongsi :
Previous post Hasilkan video, gambar kreatif boleh menang RM1,000
Next post Melaka jemput semua penyedia perkhidmatan komunikasi hadir ke SMIX 2023
Ubah saiz-+=