Kasut Converse berusia 104 tahun dijual RM40,800

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KOTA BHARU 27 Jun – Demi kelangsungan hidup, seorang pengumpul kasut vintaj di sini terpaksa melelong sepasang kasut Converse berusia 104 tahun miliknya, dan tidak menduga menerima bidaan tujuh individu yang berminat memiliki kasut edisi pertama tersebut dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas dimuat naik ke laman media sosial.

Wan Irfayuim Azim Wan Ab Aziz, 31, berkata seorang daripada pembida tersebut, iaitu seorang lelaki dari Pahang, bersetuju dengan harga yang ditawarkan iaitu RM40,800, dan mereka menyelesaikan urus niaga semalam.

“Saya turut bersetuju memberikan tiga pasang kasut Converse yang dikeluarkan pada 1950, 1960 dan 1970 sebagai hadiah.

“Saya difahamkan beliau (pembida berjaya) juga seorang pengumpul barangan antik,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Jambu, di sini hari ini.

Bercerita lanjut, Wan Irfayuim Azim berkata kasut yang dijual untuk dijadikan koleksi itu lengkap dengan sepasang seluar pendek yang dikeluarkan pada 1916 berserta pelindung lutut pemain bola keranjang.

Menyingkap sejarah kasut Converse tertua di dunia itu, lelaki berkenaan berkata, beliau membeli kasut tersebut pada 2018 daripada sepasang suami isteri yang menetap di Amerika Syarikat.

“Mereka menghubungi saya selepas melihat hantaran laman Facebook saya tentang sejarah kasut vintaj. Pasangan tersebut terdesak memerlukan wang untuk menampung kos rawatan anak mereka,” jelasnya, menambah bahawa bagi pengumpul kasut vintaj, ia bukan sekadar kasut sebaliknya penyimpan sejarah.

Sehubungan itu beliau berharap pemilik baharu kasut berkenaan akan turut menghargai nilai tinggi kasut Converse Non Skid tersebut.

Menurutnya, beliau bertindak menjual kasut tersebut bagi kelangsungan hidup kerana tidak dapat kembali ke Jepun untuk bekerja dalam sektor pelancongan akibat penularan pandemik COVID-19.

Semalam, hantaran yang dimuat naik oleh Wan Irfayuim Azim berkenaan lelongan kasut itu tular menerusi Facebook dan menerima 7,000 perkongsian serta hampir 9,000 tanda suka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1007
Kongsi :
Previous post Inisiatif bantu rakyat, perniagaan bakal dikembalikan- Tengku Zafrul
Next post Pelantikan pegawai perubatan dibuat berasaskan merit- KSU KKM
Ubah saiz-+=