KAUNTER ZAKAT MELAKA TAK PERNAH TUTUP
BUKIT BARU 1 Oktober – Sesuai dengan fungsinya untuk memudahkan urusan umat Islam berzakat, operasi Zakat Melaka khususnya di bahagian kaunter sentiasa dibuka sepanjang waktu pejabat.
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Datuk Mohamad Azmi Sabtu berkata, meskipun pada waktu rehat tengah hari, pihaknya akan memastikan sekurang-kurangnya satu kaunter dibuka untuk melayan individu mempunyai urusan berkaitan zakat.
“Kami di Zakat Melaka terutama bahagian kutipan memang tidak pernah tutup kaunter dari jam 8 pagi sehingga 5 petang, pada waktu rehat pun memang buka sahaja. Akan ada kakitangan yang bertugas secara bergilir-gilir bagi memastikan urusan orang ramai yang datang tidak terbantut atau perlu menunggu lama.
“Selain itu kami berazam memberikan perkhidmatan terbaik, saya sentiasa berpesan kepada kakitangan agar tidak lokek untuk melemparkan senyuman dan bersikap profesional ketika melayan pelanggan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Katanya, saranan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh agar semua kaunter jabatan dan agensi kerajaan dibuka pada waktu rehat tengah hari amat kena pada masanya.
Mohamad Azmi berkata, pelaksanaan cara kerja baharu itu juga dianggap sebagai satu kaedah untuk menghargai masa orang ramai yang mungkin berdepan pelbagai kekangan dalam menyelesaikan urusan masing-masing.
“Tidak boleh tutup kaunter kerana ada orang waktu mereka terhad. Kami memang sudah lama laksanakan cara kerja ini, sekarang apabila semua kaunter dibuka pasti memberikan kelegaan kepada semua.
“Kakitangan kami sentiasa cukup, jangan risau untuk membayar zakat, kerana tugas kami adalah menjalankan amanah dalam fardu rukun Islam,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.