Kawasan SAR kanak-kanak lapan tahun dikhuatiri lemas diperluaskan

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

TANJUNG MALIM, 6 Jun – Kawasan misi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak berusia lapan tahun yang dikhuatiri lemas di sungai berdekatan Teratak River View Lubuk Hantu, Simpang Empat diperluaskan sehingga sembilan kilometer daripada lokasi kejadian.

Ketua Operasi Penolong Penguasa Bomba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim, Zairul Fahmi Mohd Nazari berkata misi yang memasuki hari keempat itu disambung 8 pagi tadi.

“Hari ini kami fokus kepada jarak tersebut dengan menggunakan teknik pencarian di permukaan air, skin dive (selaman tanpa pakaian menyelam lengkap) dan pencarian di tebing sungai yang bertumpu kepada tebing-tebing sungai dan bantuan dua ekor anjing pengesan berserta tiga anggotanya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi kejadian.

Zairul Fahmi berkata seramai 49 anggota pasukan penyelamat dan dua ekor anjing pengesan terlibat dalam operasi itu dan 26 daripada mereka adalah anggota bomba, termasuk daripada BBP Tanjung Malim dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

“Operasi ini turut dibantu tujuh anggota polis, tiga anggota daripada Rescue Bencana Malaysia yang membawa dron dan tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia termasuk enam anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Slim,” katanya.

Sabtu lepas, mangsa Edward Grang Anak Jenggut yang berasal dari Sarawak ke lokasi itu untuk berkhemah bersama keluarganya sempena cuti sekolah dan sepatutnya pulang pada petang hari kejadian.

Pada Sabtu, bomba menerima maklumat mangsa dikhuatiri lemas ketika mandi di sungai berkenaan dengan berpakaian baju renang berwarna hitam bertompok hijau, selepas kanak-kanak itu hilang pada 5.06 petang.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1045
Kongsi :
Previous post Penurunan mendadak kadar defisit fiskal jejaskan ekonomi, projek pembangunan – PM Anwar
Next post Dua lelaki menyamar anggota polis ditahan di Pontian
Ubah saiz-+=