Kecewa PPR Klebang ‘lewat siap’

Masa Membaca:2 Minit, 25 Saat

KLEBANG 17 Nov. – Hasrat 150 pemohon untuk memiliki kediaman sendiri ibarat menanti buah yang tidak gugur apabila Rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR), di sini tidak menampakkan tanda untuk siap dalam tempoh terdekat.

Projek PPR Klebang mempunyai 240 unit kediaman itu dan dibangunkan oleh Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mula dibina pada 15 Februari 2016.

Berdasarkan perjanjian awal, projek berkenaan dijangka siap dua tahun lalu, namun sehingga kini tiada tindak balas diperolehi daripada pihak bertanggungjawab mengenai status projek berkenaan.

Sarimah Khairuddin, 54 berkata, impian untuk memiliki rumah sendiri semakin pudar dan penantiannya disifatkan tidak berbaloi kerana sehingga kini dia bersama dua anaknya yang masih bersekolah masih menetap di rumah sewa dengan kadar RM700 sebulan.

Katanya, kehidupannya bertambah susah apabila diberhentikan kerja tahun lalu selain mengalami kecederaan patah tangan kiri akibat kemalangan.

“Memandangkan saya ibu tunggal, saya perlu rumah sendiri untuk keluarga saya sebab kami tunggu dah lama.

SARIMAH

“Pernah saya telefon Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan nama sudah dipilih tetapi tiada tindak balas diterima, jadi kita menunggu macam buah yang tidak gugur.

“Kalau tidak ada, cakap tidak ada, bukan bagi orang tunggu kerana semua orang perlu rumah ini dan kalau kita mampu, tidak payah beli rumah kerajaan, kita beli rumah PR1MA,” katanya ketika ditemui di tapak pembinaan PPR berkenaan di sini.

Sementara itu, Faridah Mamat, 60 berkata dia kini menetap bersama lapan anak di rumah pusaka dan sering berulang-alik melihat perkembangan projek perumahan itu dengan harapan diberikan kunci rumah dengan segera.

Ujarnya, apabila melihat keadaan bangunan yang diwarnakan berwarna-warni seolah-olah menunjukkan tanda siap pembinaan, impian untuk memiliki kediaman itu semakin berkobar.

“Bila kita tengok rumah, cantik (dicat) ada peluang hendak dapat tetapi bila tengok semula, tak ada juga jadi amat kecewa.

FARIDAH

“Harapan saya kalau boleh percepatkan proses pembinaan rumah sebab kita berharap sangat dapat duduk rumah sendiri,” katanya.

Perasaan sama diungkapkan Mohd Redzuan Hassan, 41, yang masih menunggu jawapan mengenai proses pembinaan PPR tersebut.

Ujarnya, sehingga kini dia masih belum mempunyai rumah sendiri dan berharap projek tersebut dapat disiapkan secepat mungkin bagi mengurangkan beban kewangan keluarganya setiap bulan.

“Saya telah ditemuduga lima tahun lepas, dan dalam masa lima tahun itu saya masih menunggu sampai ke tahun belum ada jawapan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Klebang Besar Datuk Mohd Yusoff Abu Hasan berkata, mereka berharap LPM dapat memberi maklum balas segera bagi melegakan hati pemohon yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan.

Katanya, pembinaan PPR itu sudah siap 80 peratus manakala bakinya hanya tinggal di bahagian struktur dalaman sahaja, namun ia masih tertangguh sekian lama.

“Wabak COVID-19 bukan alasan projek itu tertangguh kerana ia (projek) sudah dibina pada 2016 dan sepatutnya siap serta boleh didiami pada 2018.

“Pemaju atau agensi pelaksana perlu bertanggungjawab atas kelewatan ini sehingga menyebabkan pembeli dibelenggu masalah untuk menyewa rumah,” katanya.

Views:

1613
Kongsi :
Previous post Melaka rekodkan satu kes Kluster Berendam
Next post AccFest2020 dalam talian bantu pelajar di rumah
Ubah saiz-+=