Kedah naik tangga ketiga carta Liga Super, benam PJ City FC 4-1

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berhasil melonjak ke tangga ketiga Liga Super 2021 selepas menewaskan Petaling Jaya City FC 4-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

Anak buah Aidil Sharin Sahak membuka jaringan seawal minit keempat maenerusi jaringan Rabih Ataya untuk menterjemahkan penguasaan KDA FC di awal babak pertama.

Percubaan demi percubaan dilakukan KDA FC sekali lagi menghukum anak buah P. Maniam apabila jaringan Kpah Sherman menembusi gawang pada minit ke-45 masa tambahan separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, duka semakin menimpa skuad The Pheonix apabila Kpah sekali lagi menyumbat gol keduanya pada minit ke-56 untuk meletakkan KDA FC selesa di depan.

Tersentak dengan keputusan itu, Petaling Jaya City FC cuba mengejar selain berhasil menemui gol tunggal mereka menerusi jaringan Khyril Muhymeen Zambri pada minit ke-61.

KDA FC bingkas memutlakkan kemenangan pada minit ke-90 masa kecederaan menerusi jaringan Fayadh Zulkifli untuk terus memberi kehampaan kepada Petaling Jaya City FC yang tewas berturut-turut dalam perlawanan Liga Super sebelum ini.

Sementara itu, dalam aksi tunggal Liga Premier petang tadi, Kuching City FC menewaskan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) 2-1 di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang.

Pasukan kendalian Irfan Bakti Abu Salim melakar kemenangan kedua berturut-turut di stadium berkenaan menerusi jaringan Mohd Irwan Syazmin Wahab di minit ke-58 dan Amir Amri Salleh pada minit ke-82 sementara gol tunggal JDT II dihasilkan minit ke-17 hasil jaringan Fernando Rodriguez Ortega.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

799
Kongsi :
Previous post Harga telur ayam stabil di pasaran
Next post Lebih 13 juta individu di Malaysia lengkap dua dos vaksin
Ubah saiz-+=