Sorting by

×

Kedah tanggung bayar sewa penempatan sementara mangsa banjir Baling

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

BALING, 6 Julai – Kerajaan negeri Kedah akan menanggung sepenuhnya bayaran sewa untuk penempatan sementara selama enam bulan bagi penduduk yang kehilangan rumah akibat banjir dan kepala air yang berlaku di daerah ini petang kelmarin.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata setakat ini 15 rumah penduduk mengalami kerosakan teruk sehingga tidak boleh didiami lagi termasuk hanyut dibawa arus deras dalam bencana itu.

“Kerajaan telah memutuskan menyediakan penempatan sementara bagi keluarga yang hilang tempat tinggal selama enam bulan. Kami akan sewa rumah untuk mereka tempatkan keluarga dan barangan yang sempat diselamatkan. Kerajaan (negeri) akan bayar sewa itu,” katanya.

Beliau berkata demikan pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Pejabat Daerah dan Tanah Baling di sini hari ini.

Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri akan berusaha untuk membantu membina semula rumah baharu kepada penduduk yang kehilangan kediaman itu namun terdapat kekangan dari segi tiada pemilikan geran tanah sebagai pemilik sekali gus memerlukan tapak baharu untuk pembinaan rumah baharu.

“Tinggal lagi kebanyakan rumah hanyut di pinggir sungai adalah rumah yang didirikan atas tanah rizab (sungai) yang tiada hak milik. Jadi, bila kerajaan nak buat balik, tak boleh (sebab) buat di tanah rizab. Kena ada tanah milik.

“Kalau mereka ada tanah milik tempat lain lebih mudah. Kalau mereka tiada tanah nak kena cari tapak dulu lagi lambat. Harap dapat selesaikan dengan cepat,” katanya yang juga memberitahu terdapat 12 kampung terdiri daripada 627 penduduk yang terjejas dalam kejadian banjir itu.

Selain itu, beliau berkata sehingga ini sejumlah 14 rumah dilaporkan rosak yang memerlukan pembaikan besar manakala jumlah rumah yang mengalami kerosakan kecil masih sedang dianalisa.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata pergerakan sukarelawan yang datang untuk misi bantuan dipusatkan di Bilik Gerakan untuk memastikan pelaksanaan bantuan itu sampai kepada semua penduduk kampung yang terjejas akibat bencana berkenaan.

Beliau turut memaklumkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berhasrat membantu mangsa banjir itu dengan jumlah yang agak besar.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1041
Kongsi :
Previous post KPDNHEP perhebat penguatkuasaan, bendung seludup minyak masak ke negara jiran
Next post Ucapan terakhir pesara guru sebelum maut ditikam anak kandung
Ubah saiz-+=