Keenakan mangga harum manis Kemboja

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

LENDU 21 Mac – Walaupun rasanya tidak semanis mangga harum manis Perlis, harum manis Kemboja tetap menerima sambutan baik pelanggan kerana keenakannya.

Bagi Nurul Ain Khalid, 30, mangga berkenaan yang dibelinya di Kuala Lumpur dua minggu lalu kini ‘laku keras’ sedangkan pada mulanya dia hanya ingin menikmatinya bersama ahli keluarga.

Penggemar mangga itu berkata, apabila mendapati buah berkenaan lebih rendah harganya berbanding harum manis Perlis, dia berusaha mendapatkannya daripada pemborong di Kuala Lumpur yang mengimport dari Kemboja.

NURUL AIN…menunjukkan harum manis Kemboja di Kampung Solok Duku, Masjid Tanah.
– Foto DIN AHMAD

“Buah ini juga disebut sebagai ‘susu gold’ berdasarkan warnanya yang kuning keemasan dan dikategorikan sebagai buah premium.

“Saya membeli dua bakul untuk makan sendiri dan memuat naik gambar di Facebook, tetapi tidak menyangka ramai kawan yang meminta saya menjualnya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Solok Duku, di sini.

Sehubungan itu, dia dan suami, Mohd Farhan Azwan Mohd Azlan, 33, membeli 10 bakul mangga berkenaan pada hari pertama, dua minggu lalu.

“Kami jual harum manis Kemboja RM20 untuk empat kilogram (kg) dan ia mendapat sambutan menggalakkan daripada penggemar mangga.

“Dalam tempoh dua minggu kami sudah mendapatkan kira-kira 100 bakul harum manis Kemboja yang manis dan menyelerakan,” katanya.

Nurul Ain berkata, buah berkenaan adalah gred 10A berdasarkan saiznya yang besar dan cantik tanpa lubang atau kesan rosak pada kulit dan isi.

Pelanggan, Suriati Abdul Rahman, 46, berkata dia tidak ketinggalan menikmati buah berkenaan kerana rasanya yang manis dan lazat.

“Buah-buahan premium tidak dijual di pasar biasa atau gerai di tepi jalan, sebaliknya ia jual pihak tertentu yang mendapatkannya daripada pemborong di Kuala Lumpur.

“Walaupun harganya agak tinggi berbanding buah-buahan tempatan, ia memberikan kepuasan kepada saya dan anggota keluarga yang gemar akan buah berkualiti tinggi,” katanya.

Dia berkata, selain harum manis Kemboja, dia turut mendapatkan buah premium lain seperti anggur, strawberi dan ceri Argentina, selain delima Mesir daripada peniaga lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3601
Kongsi :
Previous post Pembinaan kelong tingkat ekonomi nelayan
Next post Tiga nelayan Indonesia diculik Abu Sayyaf di Sabah, diselamatkan
Ubah saiz-+=