TANJUNGTUAN REBORN 1

‘Kelahiran semula’ Hutan Simpan Tanjung Tuan

‘HITAM, berbau dan mati’, itulah gambaran keadaan hutan paya laut di Pantai Cermin, Tanjung Tuan, di sini, yang mengalami kerosakan teruk akibat tumpahan minyak pada 14 Oktober 2020.

Peristiwa hampir dua tahun lalu ternyata memberikan kesan apabila hampir ratusan pokok bakau mereput dan akhirnya rebah menyembah bumi.

Kira-kira separuh bahagian yang terletak di kawasan titik tengah hutan kini semakin ‘botak’ yang tinggal hanyalah pokok dan akar yang mereput.

Biarpun ekosistem dan habitat hidupan marin musnah, usaha keras pelbagai pihak untuk menyelamatkan ‘permata’ Melaka itu semakin bersinar dan kembali bernafas.

SATU KERUGIAN BESAR

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Melaka, Khirun Nizam Abdul Rahim menyifatkan peristiwa itu sebagai malapetaka besar yang merugikan kerana hutan paya laut Tanjung Tuan memiliki kelebihan tersendiri.

Kesan pencemaran turut mengakibatkan berlakunya perubahan bentuk muka bumi di kawasan berkenaan.

“Pada mulanya kami jangka keadaan akan kembali pulih dalam tempoh dua bulan, namun kami mula resah apabila daun pokok mula menguning, kering dan gugur. Akar yang mereput menyebabkan pokok tumbang akibat tiupan angin kuat.

“Satu kerugian besar dalam ekosistem kerana kehilangan kawasan yang istimewa, pokok bakau yang mati dianggarkan berusia 100 tahun kerana tidak pernah diusik,” katanya.

TANJUNGTUAN REBORN 2
PEMANDANGAN udara kesan kemusnahan Hutan Simpan Tanjung Tuan.

HUTAN PALING ISTIMEWA DI MELAKA

Khirun Nizam berkata, lokasi rizab dalam kawasan Tanjung Tuan adalah hutan simpan istimewa di negeri ini kerana bersambung antara hutan paya laut dan hutan darat.

Menurutnya, secara keseluruhan lokasi berkenaan berkeluasan 74 hektar.

“Kalau di tempat lain memang hanya ada hutan paya laut sahaja tidak mempunyai sambungan dua hutan. Inilah yang menjadikan hutan ini amat istimewa.

“Melaka mempunyai 300 hektar hutan paya laut di Merlimau, Kuala Linggi dan Tanjung Tuan. Tetapi kawasan ini paling istimewa biarpun hutan paya laut hanya 4 hektar saja, hutan ini bersambung dengan hutan darat dan tidak sama seperti hutan paya laut yang lain,” katanya.

Menurutnya, hutan paya laut berkenaan menjadi habitat pelbagai spesies hidupan laut dan paling istimewa menjadi persinggahan burung-burung hijrah dari pelbagai negara setiap tahun.

Namun, disebabkan tumpahan jumlah burung berhijrah yang singgah menyusut lebih kurang 30 peratus hingga menjejaskan kedatangan pelancong.

ADA SINAR BAHARU

Di sebalik keresahan, ada keajaiban yang berlaku pada hutan paya bakau itu.

Khirun Nizam berkata, ia berikutan ekosistem di kawasan itu dilihat semakin pulih sejak awal tahun lalu, sekali gus menepis ramalan kajian yang menjangkakan hutan berkenaan akan pupus selepas dua tahun.

“Hasil kajian mendapati sisa minyak hitam meresap ke dalam bumi mengakibatkan ratusan pokok bakau berusia lebih 100 tahun mati.

“Biarpun sisa minyak itu masih berbaki dalam tanah, kita mendapati ada perkembangan positif apabila anak benih pokok bakau yang ditanam semakin membesar.

“Kita dapati anak bakau kurap dan bakau minyak ditanam semua membesar secara normal, malah hidupan seperti siput, ketam serta pelbagai mula kembali berhabitat,” ujarnya.

TANJUNGTUAN REBORN 3
KHIRUN Nizam (tengah) bersama warga kerja Jabatan Perhutanan Negeri Melaka dan agensi Kerajaan Negeri menanam anak pokok bakau kurap di Hutan Simpan Tanjung Tuan, Jun lalu.

PERHUTANAN MAINKAN PERANAN

Mengulas lanjut, bagi memastikan kawasan terjejas terus kekal terpulihara, pelbagai usaha telah dilaksanakan pihaknya dan berdasarkan perkembangan positif ketika itu ianya digandakan.

Kajian juga dilaksanakan di ibu pejabat jabatan itu bagi mencari ikhtiar untuk mempercepatkan pertumbuhan pokok bakau.

Beliau berkata, setakat ini lebih 1,000 anak pokok bakau ditanam hasil kerjasama pelbagai pihak seperti institusi pengajian tinggi, sekolah dan pelbagai agensi lain.

“Pelbagai program telah dijalankan khususnya menanam semula bakau jenis kurap dan minyak, semua ini akan diteruskan dan amat berharap akan pulih seperti sebelumnya. Lega apabila melihat anak pokok ditanam sudah mengeluarkan pucuk,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

884
305577894_695522505269567_1714738104426042849_n Previous post 20,000 pengunjung dijangka meriahkan sambutan Hari Malaysia 2022 di Melaka
TANJUNGTUAN REBORN 2 Next post KRONOLOGI KES TUMPAHAN MINYAK TANJUNG TUAN