Keluarga Irwan kabur mengenai penemuan mayat Ahmad Norizan

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

KUALA LINGGI 21 Jan. Keluarga Irwan Radjab, 47, yang hilang ketika menjaring ikan di laut sejak 13 Januari lalu mendakwa belum dihubungi pihak berkuasa berhubung penemuan mayat seorang lelaki di Pulau Rupat Indonesia, semalam.

Anak sulungnya, Amirul, 20 berkata, sehubungan itu mereka tidak pasti sama ada mayat itu mempunyai kaitan dengan kes itu atau tidak dan masih menaruh harapan agar bapanya ditemui selamat.

“Maafkan kami, kami masih kabur dengan apa yang berlaku dan buat masa ini, tiada apa-apa yang boleh kami kata mengenai mayat lelaki yang djumpai di Pulau Rupat, Indonesia itu seperti dilaporkan media.

“Ini kerana belum ada mana-mana pihak berkuasa menghubungi saya atau ibu, Rosdiana Mongkin, 41. Jadi kami tetap berdoa agar bapa ditemui selamat,” katanya di kediamannya di Kampung Telok Gong, di sini hari ini.

Irwan dan rakannya, Ahmad Norizan Mohamad, 37, dilaporkan turun ke laut dari Jeti Nelayan Padang Temu, dekat bandaraya Melaka pada 13 Januari lalu tetapi tidak pulang selepas itu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah dilaporkan berkata, pihaknya yakin mayat ditemukan di Kampung Telok Lechah, Pulau Rupat, Indonesia semalam adalah Ahmad Norizan.

Katanya, hasil kerjasama dengan Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru dan Pejabat Konsulat Jeneral Indonesia di Johor Bahru mengesahkan penemuan mayat itu berkaitan dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilaksanakan baru-baru ini.

Pihak Polis Republik Indonesia (Polri). Daerah Bengkalis memaklumkan mayat mangsa ditemukan berpakaian lengkap berwarna merah dan berseluar pendek, sama seperti kali terakhir dipakai mangsa sebelum dilaporkan hilang.

Turut ditemukan ialah lesen memandu tertera nama Ahmad Norizan Mohamad serta beberapa barangan peribadi miliknya dan POLRI sudah menghantar mayat itu ke Rumah Sakit Dumai, Indonesia.

Konsulat Muda Malaysia di Pekan Baru turut dimaklumkan penemuan mayat warganegara Malaysia itu dan kes diserahkan kepada pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Indonesia untuk tindakan selanjutnya.

Views:

413
Kongsi :
Previous post Ajal bersama.
Next post Ahmad Zahid bebas COVID-19
Ubah saiz-+=