Keluarga jiwa merdeka

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

PANTAI KUNDOR 29 Ogos – Menyertai pertandingan Rumah Ceria Merdeka yang julung kali dianjurkan di Kampung Pantai Rombang, di sini, membuatkan ibu anak lima ini sebak dan terharu.

Rokiah Mahmud, 57, berkata perasaan sebak dan terharunya itu disebabkan semangat anak-anak dan menantunya yang bersama-sama membantu menghias kediamannya itu.

Katanya, menghias perkarangan rumah dengan pelbagai motif hiasan menggunakan barangan kitar semula dan Jalur Gemilang secara tidak langsung mengeratkan silaturahim mereka sekeluarga.

photo1661761347
NURTHAHIRAH A Razak, 25, mewarna motif bunga raya dan Jalur Gemilang sempena Pertandingan Rumah Ceria Merdeka anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pantai Rombang. Foto Iqmal Haqim Rosman

“Hanya dua minggu sahaja masa yang ada untuk menyiapkan hiasan rumah merdeka ini. Sepanjang tempoh dua minggu itu pelbagai kenangan yang tidak dapat dilupakan dicipta.

“Antara yang membuatkan saya terharu adalah melihat kesungguhan anak dan menantu melukis peta Malaysia, mereka sanggup bersengkang mata hingga jam 3 pagi untuk siapkan lukisan itu sehari sebelum hari penilaian.

“Kami sama-sama berfikir bagamana untuk menghias bangku, menghasilkan bunga raya daripada Jalur Gemilang dan botol air terbuang. Semuanya dilakukan oleh anak dan menantu,” katanya dengan nada sebak kepada Melaka Hari Ini.

Katanya, bukan nilai wang ringgit menjadi rebutan, namun menghias rumah agar menjadi menarik adalah semangat sebenar dalam mengenang kemerdekaan negara ke-65 tahun ini.

“Bila sudah hias macam ini kami anak-beranak jadi seronok, orang lalu lalang, ada yang berhenti ambil gambar, saya teruja.

“Memori ini akan saya pahat dalam kenangan dan pertandingan seumpama ini wajar diangkat menjadi acara tahunan dalam usaha menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dalam diri dan cintakan Jalur Gemilang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2457
Kongsi :
Previous post Malaysia bakal terima pelaburan berjumlah RM34 bilion daripada Ajlan Bros
Next post MBMB tawar pengurangan kompaun parkir sehingga 80 peratus
Ubah saiz-+=