(Kemas kini) Nahas SUKE: Pemandu treler akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

KUALA LUMPUR 4 Mac. – Dua wanita maut manakala tiga lagi cedera parah setelah van dinaiki mereka dihempap sebahagian struktur binaan jejambat yang runtuh dalam kejadian di Desa Tun Razak, di sini, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, dalam kejadian 5.58 petang tadi, van tersebut sedang melalui Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan dua mangsa terbabit disahkan maut di tempat kejadian.

Beliau berkata kesemua mangsa adalah warga tempatan berusia dalam lingkungan 30 hingga 45 tahun.

“Pemandu van berkenaan dikeluarkan jam 8.55 malam dan mangsa terakhir berjaya dikeluarkan pada 9.27 malam.

“Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Muhriz untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Zulkefly berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan sebuah treler yang membawa muatan telah melanggar perancah besi pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

Katanya, pemandu treler terbabit yang juga warga tempatan telah membuat laporan polis dan akan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata, pihaknya mengambil masa lebih kurang tiga jam untuk mengeluarkan mangsa termasuk menggunakan kren.

Beliau berkata pihaknya turut mengambil langkah berjaga-jaga kerana bimbang kemungkinan berlaku runtuhan kedua.

“Bomba terpaksa menggunakan tiga kren untuk mengangkat struktur runtuhan yang menimpa van berkenaan sebelum berjaya mengeluarkan kesemua mangsa,” katanya.

Kejadian itu telah menyebabkan jalan berkenaan terpaksa ditutup kepada pengguna dan kesesakan berlaku sepanjang kira-kira dua kilometer.

Seorang penduduk berdekatan lokasi kejadian, Zamirullah Sudin, 40-an, berkata dia terdengar bunyi dentuman kuat seakan bunyi petir ketika berada di rumahnya sebelum melihat struktur binaan itu runtuh.

“Apabila saya nampak, saya bergegas turun dari rumah untuk ke lokasi dan mendapati orang ramai berkumpul untuk melihat kemalangan itu. Kemalangan berkenaan turut menyebabkan kesesakan lebih dua kilometer kerana runtuhan berlaku di tengah jalan,” katanya kepada Bernama.

Seorang saksi wanita mahu dikenali sebagai Haun, 20-an, berkata sewaktu kejadian dia berada di rumah dan turut mendengar bunyi kuat.

“Saya tinggal di flat berhampiran dengan tempat kejadian ini apabila saya keluar ke beranda nampak kemalangan itu berlaku,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

442
Kongsi :
Previous post Nahas SUKE: Dua mangsa disahkan maut, tiga selamat – Polis
Next post Individu potong barisan suntik vaksin boleh didenda RM50,000, penjara enam bulan
Ubah saiz-+=