0997A5EA-3F4A-49FC-87D4-DED167A0233F

Kematian dua tentera disebabkan kecederaan akibat pokok tumbang

IPOH, 11 Julai –  Bedah siasat ke atas dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang maut semasa menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Belum, Gerik awal pagi semalam mendapati kematian disebabkan kecederaan akibat pokok tumbang.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata bedah siasat ke atas jasad Sarjan Mohd Kamal Ramli, 41, dan Koperal Muhammad Zaki Johari, 31, telah selesai dijalankan di Unit Forensik Hospital Pulau Pinang oleh doktor pakar hospital berkenaan pada 10.20 malam tadi.

“Makluman awal daripada anggota kumpulan ronda (RJJ) menyatakan telah berlaku ribut di kawasan penempatan sub unit dan sebatang pokok telah tumbang pada kira-kira 1 pagi.

“Apabila ribut reda, pemeriksaan telah dilakukan oleh anggota RJJ dan mendapati pokok telah menghempap dua anggota,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua mangsa kemudian telah dibawa keluar dari tempat kejadian di kawasan sektor E 3 C, Hutan Belum Gerik dengan menggunakan helikopter milik Tentera Udara Diraja Malaysia sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang.

Semalam, polis mengklasifikasikan kes dua tentera yang maut akibat ditimpa pokok itu sebagai mati mengejut.

Kedua-dua mangsa merupakan anggota dari Batalion Kedua, Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD), Kem Sungai Ara, Pulau Pinang.

  — BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

122
IMG_20220709_153717 Previous post Wanita hina Islam di kelab komedi ditahan – Bukit Aman
144A6A20-BCA0-4D3C-9CC5-9F150F7573F0 Next post Fajar – Muhammad Rian titip pesanan buat Aaron – Wooi Yik