Kembar tiga terima vaksin hari ini

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

LENDU 23 Sept – Tiada yang lebih menggembirakan tiga remaja kembar, selain menerima vaksin hari ini, sehari sebelum menyambut ulang tahun kelahiran ke-17 esok.

Muhammad Nur Najwan Ya’kub, Muhammad Nur Nuk’man dan Muhammad Nur Najman berkongsi kegembiraan itu bersama-sama 383 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Alauddin (SMKSA), di sini yang turut menerima suntikan berkenaan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Masjid Tanah di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini mulai jam 9 pagi tadi.

Muhammad Nur Najwan berkata, dia tidak sabar menunggu untuk menerima vaksin sebagai ikhtiar untuk mengelak daripada diserang pandemik COVID-19.

“Beberapa rakan saya yang pernah dijangkiti COVID-19 menceritakan betapa sengsara untuk menarik nafas dan saya bernasib baik kerana setakat ini tidak dijangkiti wabak berbahaya itu,” katanya ketika ditemui di PPV berkenaan.

Muhammad Nur Najwan dilahirkan Noor Azlina Mohamad, 54, pada jam 10.16 pagi, 24 September 2004 di Hospital Melaka dan diikuti selang dua minit kemudian oleh Muhammad Nur Nuk’man dan Muhammad Nur Najman.

Muhammad Nur Nuk’man berkata, dia bersyukur menerima vaksin selepas ‘cemburu’ melihat rakannya dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Falah, Kuala Sungai Baru menerima vaksin semalam.

“Vaksin amat penting untuk membolehkan saya hadir di sekolah untuk mengikuti pembelajaran secara bersemuka bulan depan sebagai persediaan untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

“Walaupun vaksin bukanlah jaminan 100 peratus kita tidak dijangkiti COVID-19, sekurang-kurangnya ia membolehkan antibodi kita untuk menentang virus berbahaya itu,” katanya.

Ya’kub Abdul Ghani meneliti dokumen vaksin tiga anak kembarnya sambil diperhatikan oleh Muhammad Nur Najwan (kiri sekali), Muhammad Nur Najman (dua dari kiri) dan Muhammad Nur Nuk’man di PPV Masjid Tanah di Kompleks Sukan Masjid Tanah, hari ini.

Sementara itu, Ya’kub Abdul Ghani, 54, berkata dia bersyukur ketiga-tiga anak kembarnya sudah menerima vaksin dan berdoa agar keluarganya dijauhkan Allah daripada bahaya COVID-19.

“Saya tidak perlu memujuk mereka untuk menerima suntikan, sebaliknya mereka yang amat teruja untuk menerima vaksin selepas melihat kebanyakan rakan sudah menerima vaksin semalam,” katanya.

Timbalan Ketua (Pembangunan Murid) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah, Jamaludin Ahmad dalam pada itu berkata, pelajar dan ibu bapa yang hadir di kompleks sukan itu diberikan roti dan air galian sumbangan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Masjid Tanah.

“Hari ini pejabat itu menyumbangkan 1,000 roti dan 1,000 botol air galian untuk semua pihak yang terbabit dalam program pemberian vaksin di sini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1374
Kongsi :
Previous post PICK sumbang penurunan kes pesakit COVID-19
Next post 80 kes kematian babitkan pesakit COVID-19 sudah divaksin – Rahmad
Ubah saiz-+=