Kembara Merdeka Wanita DUN Taboh Naning jelajah 13 kampung

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

TABOH NANING 31 OGOS – “Biarpun negara dilanda wabak pandemik COVID-19, saya percaya ia tidak akan merencatkan sambutan Hari Kemerdekaan,”.

Itu luahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning, Datuk Wira Latipah Omar mengenai sambutan merdeka tahun ini yang merupakan tahun kedua diraikan dalam suasana norma baharu.

Bagi menyemarakkan sambutan itu, pihaknya mengambil inisiatif menjelajah ke 13 buah kampung di bawah DUN itu menerusi Kembara Merdeka Wanita DUN Taboh Naning.

“Sambutan Bulan Kemerdekaan adalah waktu yang sesuai untuk rakyat berbilang kaum menunjukkan semangat patriotik dan kasih sayang terhadap negara.

“Justeru, hari ini kita jelajah ke 13 buah kampung bermula di Taboh Naning, Kampung Cherana Putih, Kampung Kemus, Simpang Ampat, Kampung Melekek Dalam dan berakhir di Kampung Ayer Paabas.

“Kita ziarah lima keluarga di setiap kampung yang terdiri dari Wanita UMNO untuk diberikan kit makanan kerana mereka banyak berjasa demi kemerdekaan negara,” katanya kepada Melaka Hari Ini di sini hari ini.

LATIPAH (dua dari kiri) menziarahi Wanita UMNO DUN Taboh Naning sempena bulan kebangsaan ke-64.

Jelasnya, bukan hanya memberi sumbangan kit makanan, malah sebanyak 150 Jalur Gemilang turut diedarkan kepada penduduk kampung yang diziarahi.

“Setiap cawangan wanita di kampung itu kita serahkan lima kit makanan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 75 kit makanan diagihkan.

“Walaupun tak dapat buat program merdeka secara besar-besaran tahun sejak dua tahun ini, saya ambil pendekatan turun padang meninjau dan serahkan bendera kepada mereka,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Latipah turut menyeru masyarakat supaya meneruskan perjuangan membebaskan diri daripada COVID-19.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

875
Kongsi :
Previous post Sindiran tidak lunturkan semangat
Next post Warga emas rugi hampir RM0.5 juta diperdaya ‘parcel scam’
Ubah saiz-+=