Kembara RIUH beri ‘nyawa’ industri kreatif negara – Annuar Musa

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BANDA HILIR 5 Ogos – Kembara RIUH keluarga Malaysia menghidupkan kembali industri kreatif yang kuncup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Seri Annuar Musa berkata, penganjuran Kembara RIUH itu merupakan platform bagi membangunkan ekosistem kreatif tempatan.

Katanya, Kembara RIUH itu juga memberi peluang untuk mencungkil bakat baharu dalam industri kreatif negara di setiap negeri dijelajahinya.

“Atas sebab itulah KKOMM mengambil suatu inisiatif bukan sahaja untuk menghidupkan kegiatan industri kreatif di ibu kota Kuala Lumpur, tetapi sebaliknya kita bawa dalam satu siri jelajah dari satu negeri ke satu negeri, bagi membolehkan kita memberi peluang serta mencungkil bakat-bakat industri kreatif dalam pelbagai bidang yang ada di setiap negeri.

“Adalah menjadi harapan saya agar industri kreatif akan berkembang sebagai satu lagi cabang industri yang turut berkembang sama sewaktu negara menuju era Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) tetapi saya yakin industri kreatif akan kekal berperanan penting dan mempunyai potensi yang sangat tinggi untuk dikembangkan dan memberi sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian RIUH Nau di Dataran Pahlawan di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Wira Ismail Durum dan Exco Kanan Perindustrian,Pelaburan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Turut hadir Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis; Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Mohammad Mantek dan Pengerusi MyCreative Ventures Noor Azmi Mat Said.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1283
Kongsi :
Previous post 11,367 kes jenayah siber dari Januari hingga Julai tahun ini – Polis
Next post Rumah menanti rebah diganti baharu
Ubah saiz-+=