Kemenangan BN hadiah untuk rakyat Johor – Ahmad Zahid

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

JOHOR BAHRU, 13 Mac – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kemenangan gabungan politik itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai hadiah kepada rakyat yang kembali memberikan kepercayaan kepada BN.

Justeru itu, Ahmad Zahid berkata Ikhtiar BN Johor akan dilaksanakan segera dengan kepimpinan pusat terus membantu Pengerusi BN negeri Datuk Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar.

“Keputusan tidak rasmi di luar jangkaan. Syukur. Tiada perasaan sombong, riak, takabbur dan ujub, kejayaan ini hadiah untuk rakyat negeri Johor yang memberi semula kepercayaan kepada BN.

“Sebagai Pengerusi BN, saya akan mengemukakan nama Datuk Hasni agar dapat perkenan Tuanku (Sultan Johor) untuk teruskan tugas sebagai Menteri Besar Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas BN menang pada PRN itu.

Presiden UMNO itu turut menjunjung kasih atas perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Johor sekali gus memberi mandat kepada rakyat memilih pemimpin mereka.

Beliau berkata kemenangan BN pada PRN Johor kali ini tidak akan mengecewakan Sultan Ibrahim dan mewujudkan kerajaan negeri yang lebih stabil di Johor Darul Takzim.

Ahmad Zahid turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kepimpinan parti keseluruhannya termasuk Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan selaku Pengarah PRN Johor dan Hasni yang bekerja keras untuk kemenangan itu.

Nama bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut disebut Ahmad Zahid yang menyifatkan beliau sebagai individu yang mempunyai ketahanan luar biasa dalam membantu kempen BN pada PRN Johor kali ini.

“Walaupun beliau diasak bertubi-tubi, walaupun beliau difitnah setinggi gunung, walaupun beliau dikata, dihina oleh seluruh negara, beliau tetap semangat, beliau tetap kental, tetap utuh.

“Bukan sahaja tahan diuji, beliau mempunyai ketahanan luar biasa. Mudah-mudahan kemenangan besar ini adalah hadiah kepada ‘Bosku’ juga,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengucapkan terima kasih kepada jentera parti terutama Wanita yang banyak membantu kempen, pihak media serta pengundi yang membuat pilihan pada PRN Johor.

Pada sidang media sama, Mohamad bersyukur dengan kemenangan BN dan menyifatkan ia sebagai lembaran baharu Kerajaan Negeri Johor yang akan ditubuhkan kelak.

Beliau berkata dengan kepercayaan yang diberikan rakyat, BN akan memastikan Bangsa Johor hidup lebih aman dan sejahtera untuk lima tahun akan datang.

“Saya sebagai Pengarah PRN Johor telah menjalankan tugas untuk membantu mengambil semula Kerajaan Negeri Johor daripada Pakatan Harapan yang menang pada PRU ke-14 dulu,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1146
Kongsi :
Previous post BN menang 40 kerusi, lebih dua pertiga majoriti – SPR
Next post Usah lalai menang di Johor, BN perlu fikir strategi menang PRU – Annuar
Ubah saiz-+=