Kementerian Kerja Raya bantu jayakan TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

DURIAN TUNGGAL 10 Julai – Kementerian Kerja Raya (KKR) bersedia membantu Kerajaan Negeri menjayakan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dengan melaksanakan projek membabitkan kemudahan jalan raya.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya sedang meneliti keperluan tersebut agar keutamaan diberikan kepada projek yang sepatutnya.

“Pagi tadi (semalam) saya mengetuai rombongan KKR Malaysia membuat kunjung hormat ke pejabat Ketua Menteri Melaka, jadi kami berbincang tentang projek-projek dirancang di peringkat negeri.

“Kami juga faham TMM2024 bermula tahun hadapan, jadi kementerian membuat persediaan segala-galanya untuk memberi kemudahan kepada Negeri Melaka.

“Sudah tentu kerja-kerja yang dibuat ini dapat mengindahkan lagi Negeri Melaka dengan kemudahan yang berkaitan lebuh raya dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Projek Membina Jalan Pintas Baharu dari Persimpangan Jalan Alor Gajah Lama (Laluan M17) Ke Taman Murai Jaya di Pekan Durian Tunggal, di sini, pada Isnin.

Projek berkenaan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari serta Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Turut hadir, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan; barisan Timbalan Exco Kerajaan Negeri dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Datuk Ir. Ismail Abd Rahman.

Alexander berkata, pihaknya telah menerima senarai permohonan pembinaan jalan baharu di Melaka daripada Kerajaan Negeri.

“Saya sudah menerima senarai diminta Kerajaan Negeri, kami akan teliti dan akan hulurkan bantuan nanti, senarai itu sangat terperinci nanti kami akan maklumkan maklumat itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

857
Kongsi :
Previous post Penemuan mayat dalam kanvas cetus tanda tanya
Next post Pemandu, penumpang selamat pokok hempap kereta
Ubah saiz-+=