Kempen derma darah di Melaka ‘dingin’, kurang sambutan

Masa Membaca:2 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 5 Nov – Unit Tabung Darah Hospital Melaka (HM) merayu keperihatinan rakyat di negeri ini agar bersama menjayakan kempen derma darah anjurannya yang diadakan pada setiap minggu di pusat membeli belah di seluruh negeri.

Pegawai Seranta Unit Tabung Darah Hospital Melaka (HM), Mohd Faizal Ishak berkata, kempen yang diadakan pada setiap hari itu bermula pukul 11 pagi hingga 5 petang mendapat sambutan agak dingin daripada orang ramai biarpun diadakan di lokasi tumpuan.

Misalnya, menurut beliau, kempen yang diadakan di pasaraya Mydin Ayer Keroh semalam, mensasarkan sekurang-kurangnya mengutip 70 beg namun hanya mampu memperolehi 54 beg darah.

“Walaupun semalam cuti umum dan ramai pengunjung namun jumlah sasaran masih gagal dicapai. Jika dibandingkan dengan hari biasa, bilangan penderma jauh lebih sedikit sekitar bawah 10 orang sahaja.

“Buat rakyat Melaka, kami merayu bantu HM untuk tambah bekalan darah dengan menderma di mana-mana kempen yang dianjurkan… sumbangan anda amat diperlukan bagi membantu pesakit yang dalam kecemasan,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI).

MOHD Faizal Ishak

Setakat ini, katanya, simpanan bekalan darah di Unit Tabung Darah HM berjumlah sekitar 1,100 beg dan pihaknya menggunakan 100 hingga 150 beg termasuk membekalkan bekalan darah ke hospital daerah dan swasta bagi membantu pesakit yang memerlukan.

“Kita bimbang bekalan darah sedia ada akan berkurangan dan satu beg darah digunakan oleh tiga pesakit yang dalam kecemasan,” ujarnya.

Menurut beliau, setakat semalam, pihaknya hanya mampu mengumpul 80 beg darah berbanding sasaran 190 beg melalui empat hari kempen darah diadakan bermula Isnin lalu.

“Kita sasarkan akan dapat kumpul sekurang-kurang 690 beg darah melalui kempen sepanjang minggu ini namun setakat semalam baharu dapat 190 beg, masih jauh jumlah sasaran yang dapat dicapai dengan masa yang masih berbaki dua hari lagi,” ujarnya.

Katanya, selain dapat menyelamatkan nyawa pesakit yang dalam kecemasan, penderma menikmati pelbagai faedah antaranya mendapat kemudahan perubatan percuma apabila mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar dan dapat mengetahui lebih awal tentang status kesihatan mereka.

“Apabila mereka datang untuk menderma darah, kita akan periksa status kesihatan dan membuat pemeriksaan darah, dari situ, mereka akan mengetahui tahap kesihatan misalnya ujian kesihatan jantung, tekanan darah dan lain-lain,” ujarnya.

Menurut Mohd Faizal, orang ramai tidak perlu bimbang untuk menderma darah kerana ia dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) selaras dengan panduan Kementerian Kesihatan.

Katanya, biarpun kempen derma darah masih tidak mendapat sambutan namun pihaknya tidak akan berputus asa dan tetap meneruskan program yang sama secara berterusan demi memastikan bekalan darah di negeri ini sentiasa mencukupi bagi menampung keperluan pesakit.

Mereka yang berhasrat membantu menambah simpanan tabung darah HM boleh mengunjungi kempen derma darah di lokasi yang diatur pada laman sosial Facebook melakabloodbank atau menghubungi talian 06-2892873 untuk maklumat lanjut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1365
Kongsi :
Previous post Kingsmen, MAB King, FRIXX muncul juara sulung Piala TYT Esports
Next post Dr Akmal letak jawatan COO Putra Specialist Hospital, dijangka bertanding PRN Melaka
Ubah saiz-+=