Kemudahan pengeluaran i-Citra legakan rakyat

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 30 Jun- Kemudahan pengeluaran baharu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu i-Citra yang diumumkan kerajaan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), mengundang pelbagai reaksi masyarakat.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati rata-rata orang awam menyambut baik berhubung kemudahan pengeluaran sehingga RM5,000 bagi meringankan beban kewangan pencarum yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pekerja Perkhidmatan Kurier, Muhammad Syahmi Borhan berkata, dalam keadaan ekonomi yang dilihat semakin genting, pengeluaran duit simpanan KWSP menerusi i-citra dilihat membantu bagi golongan yang terjejas.

Katanya, wang simpanan dikeluarkan akan digunapakai bagi membeli barangan keperluan harian asas atau ‘topup’ untuk bayaran bil-bil bulanan di rumah selain akan digunakan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Sekiranya berlaku perkara tidak diingini, duit simpanan itulah yang akan bertindak sebagai penyelamat, namun perlu diingatkan bahawa pengeluaran KWSP kali ini bukan bantuan dan ia adalah hasil titik peluh pekerja.

“Tambahan pula dengan keadaan ekonomi tidak menentu, pekerjaan saya pula tidak menjanjikan akan kekal, duit tersebut memang diperlukan sebagai persediaan diri mengharungi hari mendatang,” katanya.

MUHAMMAD Fuad.

Bagi pekerja swasta, Muhammad Fuad Ramdan, pengeluaran i-Citra ketika musim pandemik ini amat dinantikan bagi golongan memerlukan.

Ujarnya, wang simpanan atau tabung kecemasan semakin menyusut dalam pandemik membuatkan dia berasa ‘bernyawa kembali’ apabila kerajaan mengumumkan pengeluaran i-Citra kelmarin.

“Dalam keadaan semua orang tengah ‘susah’ dan ada yang hampir ‘nazak’ saya boleh kata, pengeluaran i-Citra ini beri golongan terjejas ini ‘bekalan oksigen’.

“(Namun) i-Sinar dan i-Citra adalah bekalan oksigen yang sama dan bayangkan jika ia habis digunakan dan dalam masa yang sama keadaan pandemik ini berlarutan dan semakin parah. Hal ini turut menjadi persoalan buat kami pencarum KWSP,” katanya.

NABILAH.

Sementara itu, Eksekutif Perhubungan Awam, Nabilah Mahat berpandangan i-Citra sangat membantu golongan yang terdesak akibat pandemik COVID-19, namun jumlah yang dibenarkan perlu ditingkatkan.

Jelasnya, jumlah RM5,000 bagi tempoh lima bulan iaitu sebulan bersamaan RM1,000 bagi menampung perbelanjaan sekeluarga bagi orang hilang sumber pendapatan adalah tidak cukup untuk membayar hutang dan barang keperluan terutama untuk keluarga yang ramai tanggungan.

“Pengeluaran wang kali ini adalah sama seperti i-Sinar, sepatutnya pencarum boleh keluarkan sehingga RM10,000 seperti sebelumnya.

“Ini kerana kebanyakan rakyat hilang pekerjaan kerana syarikat gulung tikar dan semua diberi cuti tanpa gaji.

“Mereka ini amat mengharapkan bantuan kerajaan, namun untuk mendapatkan bantuan pula banyak prosedur perlu dilalui, jadi dengan adanya kemudahan pengeluaran i-Citra ini tentu dapat membantu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

321
Kongsi :
Previous post ‘Dapatlah tampung beli barang dapur’
Next post Parlimen kemuka cadangan adakan sidang khas sebelum 1 Ogos
Ubah saiz-+=