‘Dapatlah tampung beli barang dapur’

Masa Membaca:2 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 30 Jun – Bagaikan ‘bulan jatuh je riba’, itu perumpamaan mengenai golongan sasar yang menerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan baru-baru ini.

Kecil atau besar tidak menjadi ukuran kerana jumlah diperuntukkan perlu dimanfaatkan mengikut keperluan serta meringankan beban ditanggung dalam tempoh pandemik COVID-19 ini.

Penerima BPR, Kamariah Mohamad, 64, berkata, sudah tentu bantuan itu akan dimanfaatkan bagi membeli barangan keperluan harian.

“Makcik bersyukur kepada Allah dengan kerajaan yang prihatin, bantuan ini dapat membantu terutama sekali membeli barang dapur serta makanan dan ditambah pula banyak barangan yang dah naik harga.

“Makcik pesara, tapi duit yang dapat tu banyak nak ditolak, paling mustahak nak bayar bil api (elektrik) dan air. Jadi, bila hujung bulan tu tinggal sikit je untuk belanja,” katanya ketika ditemui MHI di Pasaraya Mydin hari ini.

NORAINI.

Bagi Noraini Abdul Kadir, 65, dalam tempoh pandemik ini sudah pasti bantuan BPR sangat diperlukan.

“Bantuan memang sangat membantu keluarga, wang yang disalurkan oleh kerajaan sudah tentulah saya akan guna untuk beli keperluan asas seperti makanan dan sebagainya.

“Ditambah pula suami dah pencen, jadi warga emas seperti kami ni memang berterima kasih sangat bila dapat bantuan sebegini,” katanya yang berasal dari Krubong.

SITI Amani.

Sementara itu, golongan M40, Siti Amani Md Nor, 37, turut bersyukur apabila kerajaan tidak meminggirkan golongan sepertinya yang turut terkesan sepanjang pandemik COVID-19.

“Syukur kali ini kerajaan berikan Bantuan Khas COVID-19 (BKC) terhadap golongan M40, kami memang sangat memerlukan dan terkesan waktu ini.

“Sebelum ni tak pernah dapat bantuan sebab ada syarikat sendiri, Alhamdulillah dengan bantuan ni dapatlah ringankan beban yang ditanggung.

“Saya ada spa urutan dan dah dua bulan lebih tutup, mata pencarian memang bergantung pada perniagaan itu saja”, katanya yang mempunyai tiga anak.

Katanya, dia memang berharap kerajaan sentiasa mendengar keluhan rakyat termasuk golongan M40.

“Memang kita harap sangat kerajaan dengar apa yang kita alami sekarang, bila umum pasal BKC memang saya nak mohon sebab peniaga macam saya memang sangat terkesan,” katanya yang menetap di Kampung Pengkalan Minyak.

Terdahulu kerajaan mengumumkan akan menyalurkan bantuan tunai langsung kepada rakyat dengan nilai keseluruhan RM10 bilion sehingga hujung tahun ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik berkata, ia merangkumi bayaran tambahan BPR sehingga RM500 yang mula disalurkan secara berperingkat mulai semalam.

Beliau berkata, BPR fasa ketiga dengan kadar bantuan antara RM100 hingga RM1,400 pula akan dibayar pada September, termasuk membabitkan kes lulus rayuan.

Secara keseluruhan, nilai BPR sehingga hujung tahun ialah RM4.9 bilion manakala pemberian BKC juga akan diberikan mengikut kadar tertentu kepada golongan B40 dan M40.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

604
Kongsi :
Previous post Korban di masjid dan surau: Maksimum 25 petugas, terhad lima lembu sehari
Next post Kemudahan pengeluaran i-Citra legakan rakyat
Ubah saiz-+=