Korban di masjid dan surau: Maksimum 25 petugas, terhad lima lembu sehari

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

BUKIT PALAH 30 Jun – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengesahkan semua masjid dan surau di negeri ini dibenar melaksanakan ibadah korban pada Hari Raya Aidiladha tahun ini, namun dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Pengarahnya, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, antara syarat perlu dipatuhi, setiap masjid dan surau ialah perlu mendapatkan kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Melaka yang akan memastikan kesesuaian tempat korban.

Selain itu, katanya hanya 25 petugas berdaftar sahaja dibenarkan hadir ke tempat pengurusan korban di masjid dan surau dengan bilangan haiwan korban terhad kepada lima ekor sehari.

CHE SUKRI.

“Hanya petugas berdaftar dibenarkan hadir ke tempat pengurusan korban berdasarkan kepada ketetapan SOP dengan jumlah maksimum tidak melebihi 25 orang.

“Peserta korban tertakluk kepada bilangan lembu yang disembelih iaitu tujuh peserta bagi setiap lembu tetapi tidak melebihi lima ekor lembu pada satu satu hari.

“Ia bermakna, sepanjang empat hari ibadah korban (20 hingga 23 Julai) dilaksanakan ia terhad kepada 20 ekor haiwan korban sahaja bagi setiap masjid dan surau yang melaksanakannya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pekeliling ibadah korban dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Melaka, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Che Sukri turut mengingatkan kesemua masjid dan surau agar mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memastikan ibadah yang dijalankan tahun ini berjalan lancar.

Tambahnya, jawatankuasa masjid dan surau juga perlu memainkan peranan dalam proses pengagihan daging korban yang mana setiap agihan perlulah diagihkan dari rumah ke rumah.

“Pengagihan daging korban hanya boleh dilakukan petugas ke rumah-rumah yang telah dikenal pasti oleh jawatankuasa korban.

“Tiada agihan dibenarkan dalam kawasan masjid dan surau di negeri ini,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

942
Kongsi :
Previous post Sulaiman kongsi perkembangan pentadbiran negeri
Next post ‘Dapatlah tampung beli barang dapur’
Ubah saiz-+=