Kenaikan gaji minimum penjawat awam perlu dikaji secara menyeluruh

IPOH, 21 Mac – Kajian menyeluruh perlu dilakukan termasuk membabitkan aspek keupayaan kewangan sebelum membuat sebarang keputusan berhubung kenaikan gaji minimum penjawat awam di negara ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.

“Kita tahu kerajaan juga mempunyai beban yang tinggi dan membayar pencen dan sebagainya. Kakitangan awam kita perlu pendekatan menyeluruh (sebelum kenaikan),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama pegawai kanan negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kadar gaji minimum baharu sebanyak RM1,500 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam kepada majikan syarikat besar dan sama ada ia turut dilaksanakan kepada penjawat awam.

Dalam perkembangan lain, Mohd Syafiq berkata kepercayaan rakyat kepada perkhidmatan awam juga perlu ditingkatkan termasuk memudahcara perkhidmatan, mengurangkan kerenah birokrasi, tangkas dan berinovasi berpaksikan kepada rakyat.

Semalam, Ismail Sabri mengumumkan bahawa kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan di seluruh negara mulai 1 Mei ini dan ia berkuat kuasa terlebih dahulu membabitkan syarikat-syarikat besar dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2

Share and Enjoy !

Shares
Previous post OKU maut dilanggar ketika berbasikal
Next post Mayat wanita tanpa identiti ditemukan dalam gaung