Kenaikan gaji penjawat awam: Melaka cari kaedah terbaik

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 21 Mei – Kerajaan Negeri akan mencari formula dan kaedah terbaik bagi memperhalusi kenaikan gaji penjawat awam negeri.

Ia bagi menyelaras pengumuman kenaikan gaji penjawat awam di peringkat Persekutuan seperti diumum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sambutan Hari Pekerja, baru-baru ini.

Menjelaskan perkara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh memaklumkan perkara tersebut akan diperincikan dan akan diumum pada pembentangan Bajet 2025 Negeri Melaka, hujung tahun ini.

“Kenaikan gaji (penjawat awam) memang diumum Kerajaan Persekutuan di peringkat awal, tapi pelaksanaannya dibuat pada hujung tahun. Jadi, Kerajaan Negeri sedang menunggu kaedah terbaik dalam pembentangan Bajet 2025 nanti.

“Ini kerana Melaka merupakan sebuah negeri yang memerlukan semua sumber kewangan bagi mengimbangi perbelanjaan dan pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Jadi, saya harap semua (penjawat awam) bersabar, kita masih lagi mencari sumber-sumber baharu supaya kita dapat memberikan kebersamaan dengan kerajaan pusat,” katanya.

Photo 2024 05 21 09 23 20
Barisan Exco Kerajaan Negeri yang hadir pada Majis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Mei 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh. Foto Iqmal Haqim Rosman

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Mei 2024 di Grand Ballroom, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas-tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Saleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan serta lain-lain kenamaan.

Pada awal 1 Mei lalu, Perdana Menteri telah mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam sebanyak 13 peratus yang akan berkuatkuasa pada Disember 2024.

Kenaikan itu membabitkan peruntukan mencecah lebih RM10 bilion, sekali gus menjadi antara yang terbaik dalam sejarah negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

175
Kongsi :
Previous post Rangka manusia di ladang kelapa sawit disahkan milik Muhammad Syafiq
Next post ‘MyMelaka News’ dalam platform Telegram untuk rakyat Melaka – KM
Ubah saiz-+=