KEPAK sasar tambah ahli
BANDARAYA MELAKA 16 November – Seramai 3,000 Penolong Pegawai Tadbir seluruh negara disasarkan mendaftar sebagai ahli Kesatuan Pegawai Eksekutif Malaysia (KEPAK), menjelang akhir tahun ini.
Presiden KEPAK Azrie Azeh berkata, secara keseluruhan seramai 6,000 Penolong Pegawai Tadbir berkhidmat di pelbagai jabatan di negara ini.
Katanya, setakat November kurang separuh daripada jumlah keseluruhan itu atau 2,500 orang sahaja tampil untuk mendaftar sebagai ahli KEPAK.
“Berikutan itu kami akan bergerak dan melakukan promosi dengan lebih agresif bagi memastikan sasaran yang ditetapkan mampu dicapai mengikut tempoh masa ditetapkan.
“Biarlah sekurang-kurangnya 50 peratus tampil menjadi ahli kesatuan, sikit sahaja lagi untuk kita capai sasaran,” katanya pada sidang media selepas Program ‘United We Stand’ Skim Perkhidmatan Penolong Pegawai Tadbir Zon Selatan disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari di sebuah hotel, di Bukit Cina, di sini, hari ini.
Menurut beliau, seterusnya pada 2024 pihaknya mensasarkan sebanyak 60 peratus lagi Penolong Pegawai Tadbir seluruh negara tampil mendaftar sebagai ahli KEPAK.
“Keahlian sangat penting apabila kami hendak membentangkan sesuatu kertas kerja, perkara pertama yang akan ditanya adalah tentang suara majoriti.
“Justeru kita berusaha meramaikan lagi ahli untuk menunjukkan setiap tuntutan dan cadangan bagi penambahbaikan adalah mewakili suara majoriti Penolong Pegawai Tadbir. Kurangnya kesedaran mungkin faktor masih ramai belum berbuat demikian,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.