Sorting by

×

Keputusan laksana fasa peralihan ke endemik bergantung kepada JKKPP – Hishamuddin

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KUALA LUMPUR, 8 Feb – Keputusan menentukan masa bagi pelaksanaan fasa peralihan ke endemik bergantung kepada keputusan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 (JKKPP), menurut Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata keputusan itu akan dibuat JKKPP yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta turut melibatkan Ahli-ahli Parlimen Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan.

“Setakat ini perancangan berkaitan fasa peralihan ke endemik di peringkat Kuartet Menteri COVID-19 telah selesai. Saya tahu banyak pihak mula bimbang susulan gelombang penularan Omicron sedang meningkat dalam kes harian tetapi kita tidak boleh berganjak daripada perancangan ke fasa seterusnya (endemik).

“PKPD akan dibuat susulan kepada kemungkinan kenaikan kes di lokasi dan lokaliti tertentu, kita boleh lakukan tetapi kawalan pergerakan seluruh negara macam dulu tidak mungkin kita akan adakan semula,” katanya pada sidang media mengenai hasil Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 di sini hari ini.

Beliau berkata bagi melaksanakan fasa peralihan ke endemik, sistem kesihatan negara khususnya penggunaan katil di wad dan unit rawatan rapi (ICU) perlu berada dalam keadaan terkawal serta tahap kefahaman rakyat mengenai tujuh tonggak bagi pendekatan fasa peralihan ke endemik.

Tujuh tonggak bagi fasa peralihan ke endemik adalah pematuhan satu prosedur operasi standard (SOP) umum dan sembilan garis panduan; melaksanakan Sistem Amaran dan Tindakan (HAS)); Strategi Ujian Nasional; serta TRIIS (Ujian, Lapor, Asingkan, Maklum, Cari).

Ini juga termasuk Automated FTTIS (Cari, Ujian, Kesan, Asing, Sokong); pembukaan sempadan negara secara berperingkat dan duta-duta pemerkasaan komuniti.

Selain itu, Hishammuddin berkata kerajaan membuat keputusan memansuhkan SOP pemeriksaan suhu badan dan buku rekod daftar masuk di premis bermula 11 Feb, namun daftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera masih diwajibkan.

“Dengan pemansuhan ini, pihak pemilik premis tidak lagi diwajibkan untuk menyediakan alat pengimbas suhu dan buku rekod daftar masuk di pintu-pintu masuk premis masing-masing.

“Bagaimanapun sekiranya pemilik-pemilik premis masih ingin meneruskan pelaksanaan SOP pemeriksaan suhu dan buku rekod daftar masuk ini, kerajaan amat mengalu-alukan dan menggalakkannya,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

524
Kongsi :
Previous post Sempadan negara akan dibuka selepas berbincang dengan tiga agensi – Hishammuddin
Next post SOP baharu wajib dos penggalak bagi jemaah umrah – Hishammuddin
Ubah saiz-+=