Kerajaan beri keutamaan peruntukan penyelenggaraan aset dalam penyediaan Bajet 2023 – Mustapa

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

JELI, 19 Jun – Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU) dan Kementerian Kewangan (MOF) telah diminta supaya memberi keutamaan terhadap peruntukan penyelenggaraan aset bagi semua kementerian dalam penyediaan Bajet 2023.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pada April lepas EPU membentangkan kertas Jemaah Menteri mengenai keperluan menyediakan peruntukan lebih besar untuk menyelenggara aset-aset kerajaan termasuk peralatan, bangunan dan jalan raya.

“Peruntukan penyelenggaraan bagi kementerian yang mempunyai prestasi perbelanjaan rendah dicadang diagih semula bagi menampung keperluan perbelanjaan penyelenggaraan kepada kementerian yang memerlukan.

“Budaya penyelenggaraan perlu dititik berat bagi memastikan aset dan kemudahan kerajaan sentiasa dalam keadaan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa melakukan lawatan kerja ke Laluan Persekutan FT004 di sempadan Gerik, Perak dan Jeli, di sini hari ini, yang turut disertai Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Ir Mohd Suhaili Ismail.

Mustapa berkata kerajaan juga akan mengambil langkah proaktif pada tahun ini untuk menyediakan peruntukan bagi kerja-kerja penyelenggaran aset.

Sementara itu, mengulas mengenai aduan kerosakan Lebuhraya Timur-Barat yang sering dibangkitkan oleh pengguna, beliau berkata JKR Kelantan telah mengemukan laporan terperinci mengenai isu penyelenggaraan lebuh raya tersebut terutama berkaitan kekangan peruntukan.

“Bagi jajaran Kelantan, sebanyak RM16.6 juta telah dibelanjakan pada 2021 untuk kerja-kerja penyelenggaraan manakala sebanyak RM10.9 juta pula diperuntukan bagi penyelenggaraan di 11 lokasi jajaran pada tahun ini.

“Secara keseluruhan, penyelenggaraan di sepanjang lebuh raya ini telah dilaksanakan secara berperingkat namun peruntukan lebih besar diperlukan untuk penyelenggaraan lebuh raya terutama bagi jajaran di Perak dan sempadan di Kelantan” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1020
Kongsi :
Previous post Lebih 20,000 lelaki dapatkan khidmat kaunseling LPPKN – Rina
Next post Polis tahan lelaki disyaki cederakan EXCO Pulau Pinang
Ubah saiz-+=