Kerajaan cadang tiga negara sebagai sumber baharu sertai sektor pengawal keselamatan – Hamzah

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KUALA LUMPUR 25 Nov – Kerajaan sedang merancang untuk menjadikan Bangladesh, Indonesia dan Filipina sebagai negara sumber tenaga kerja bagi memenuhi kekosongan dalam sektor perkhidmatan pengawal keselamatan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata perkara itu akan dikaji secara terperinci terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat, dan kementeriannya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pemegang taruh untuk memastikan tiada isu atau masalah timbul mengenainya nanti.

Katanya beliau akan membuat pengumuman muktamad selepas mengadakan perbincangan dengan pihak yang berkaitan, termasuk pemain industri serta agensi-agensi kerajaan yang terlibat seperti Kementerian Luar, Kementerian Pertahanan dan lain-lain lagi.

Beliau berkata ia bagi memastikan bahawa tiada masalah lain yang timbul apabila pekerja-pekerja luar ini mula diimport nanti, kerana mereka perlu dipastikan benar-benar bekerja dalam negara, dan bukannya menjadi ejen negara luar atau sebagainya.

“Ini kerana ia melibatkan soal keselamatan negara, pelbagai perkara boleh berlaku dan saya amat sensitif dengan isu ini,” katanya selepas merasmikan majlis perjumpaan Menteri Dalam Negeri bersama Industri Perkhidmatan Kawalan Keselamatan dan Agensi Persendirian di ibu negara hari ini.

Sementara itu Hamzah berkata 66 lesen syarikat kawalan keselamatan dibatalkan sejak tahun 2014 atas pelbagai alasan, termasuk sebab menggaji pekerja tanpa menjalankan tapisan keselamatan, salah guna senjata api dan menggajikan pendatang tanpa izin.

Beliau seterusnya menggesa semua syarikat kawalan keselamatan membuat pembaharuan lesen syarikat masing-masing bagi mengelak tindakan.

“Syarikat kawalan keselamatan perlu membuat pembaharuan lesen pada atau sebelum 31 Dis ini bagi mengelak lesen mereka ditarik,” katanya.

Sementara itu Hamzah berkata Kementerian Dalam Negeri akan menubuhkan Akademi Latihan Industri Keselamatan khusus bagi membolehkan syarikat-syarikat kawalan keselamatan melatih petugas keselamatan mereka dengan latihan asas, sebagaimana pihak berkuasa lain.

Menurutnya akademi berkenaan akan bekerjasama dengan agensi sedia ada bawah Kementerian Dalam Negeri antaranya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan dan Jabatan Imigresen.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

879
Kongsi :
Previous post Kit ujian kendiri kini serendah RM4.90
Next post Tiada kenaikan harga sayur hingga 200 peratus – KPDNHEP
Ubah saiz-+=