Kerajaan gubal strategi COVID-19 berdasarkan data

Masa Membaca:2 Minit, 26 Saat

PUTRAJAYA 1 Mac. – Kerajaan menggubal strategi mengawal penularan COVID-19 berdasarkan data, serta mengambil pendekatan yang lebih bersasar dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang lebih ketat di lokasi kluster jangkitan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata banyak yang telah dipelajari setelah setahun berlalu, antaranya berdasarkan analisis data, lebih 85 peratus kes COVID-19 di negara ini disumbangkan oleh lebih 10 peratus lokasi kluster COVID-19.

Pada masa yang sama, Muhyiddin berkata aktiviti ekonomi akan terus dibuka tertakluk kepada amalan penjarakan fizikal serta prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

MUHYIDDIN…kerajaan gubal strategi mengawal penularan COVID-19 berdasarkan data.

“Penguatkuasaan SOP akan dipertingkatkan. Tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang didapati tidak mematuhi SOP bagi memastikan aktiviti ekonomi dan mata pencarian untuk majoriti rakyat dan perniagaan dapat kekal dibuka dan diteruskan,” katanya dalam Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin hari ini.

Majlis amanat bersempena genap setahun beliau menerajui kerajaan Malaysia berlangsung secara hibrid yang menggabungkan kehadiran secara fizikal di Putrajaya, antaranya menteri-menteri kabinet dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, dan juga secara maya.

Beliau berkata meskipun aktiviti ekonomi dibuka, kawalan pergerakan masih diperlukan termasuk kawalan sempadan antarabangsa, kawalan pergerakan merentasi negeri dan juga aktiviti sosial dan perniagaan yang tidak dapat mengelakkan penjarakan fizikal.

“Pembukaan aktiviti seumpama ini hanya dapat dilaksanakan setelah pelaksanaan imunisasi mencapai tahap tertentu dari segi liputan rakyat,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan turut merangka beberapa langkah tambahan, antaranya menyediakan bantuan secara bersasar kepada kumpulan rentan terutamanya golongan miskin serta mereka yang kehilangan pendapatan.

Kerajaan juga mengambil langkah meningkatkan sokongan kepada perniagaan khususnya perniagaan yang masih tidak dapat beroperasi dan perniagaan yang sedang dalam proses pembukaan semula pasca-Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), katanya.

Menurut perdana menteri, sistem penyampaian awam turut diberi tumpuan terutamanya bagi memastikan bantuan sampai kepada semua yang memerlukan, menyegerakan pelaksanaan projek pembangunan serta mengurangkan kerenah birokrasi supaya aktiviti ekonomi kembali rancak sehingga ke peringkat akar umbi dan menggalakkan pelaburan baharu dari dalam dan luar negara.

Agenda pendigitalan juga diberi fokus utama selaras dengan pertumbuhan sumber kekayaan baharu dan transformasi ekonomi negara dalam aktiviti yang berasaskan pengetahuan dan inovasi, katanya.

Dalam usaha menangani penularan COVID-19 dan menjamin keselamatan rakyat, Muhyiddin berkata kerajaan meningkatkan aspek kawalan sempadan, memastikan pematuhan terhadap perintah kawalan pergerakan, menambah baik pusat tahanan sedia ada termasuk membuka pusat tahanan sementara dan memperketatkan kawalan kemasukan warga asing.

Kerajaan, tegasnya tidak sedikit pun berkompromi dalam isu pendatang tanpa izin terutamanya dalam usaha membendung penularan COVID-19.

Menurutnya, hingga 31 Dis 2020, sebanyak 6,634 operasi ke atas pendatang tanpa izin telah dilaksanakan, menyaksikan 22,522 pendatang tanpa izin, 387 majikan serta 11 sindiket berkaitan pendatang tanpa izin dan 111 orang dalang ditangkap.

“Sebagai langkah ke hadapan, kerajaan akan terus melaksanakan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan, terutamanya terhadap arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berkuat kuasa,” kata perdana menteri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

335
Kongsi :
Previous post Muhyiddin minta GLC pertimbang permohonan pengecualian bayaran sewa peniaga
Next post Sentimen pelabur asing tetap teguh meskipun Malaysia dilanda COVID-19
Ubah saiz-+=